Sunday 24 June 2012

SINGAPURA NAFI TERLIBAT BERSIH, HANYA PEMERHATI




Oleh : MOHD FARHAN DARWIS

KUALA LUMPUR : Kementerian Luar Singapura (MFA) menegaskan negara republik itu tidak terlibat dalam penyertaan perhimpunan Bersih 3.0 hujung April lalu sebaliknya menegaskan, tiga diplomat mereka berada di lokasi perhimpunan duduk bantah itu adalah sekadar menjadi pemerhati dan tidak menyokong mana-mana pihak.

Dipetik laman Berita Harian Singapura versi online, Cyberita, ketiga-tiga diplomat yang dikatakan oleh blogger Malaysia, 'mymassa' menyertai perhimpunan duduk bantah dengan memakai baju-T kuning juga adalah tidak benar.

"Ini sebahagian daripada tugas profesional diplomatik biasa. Mereka secara khusus tidak mengenakan pakaian berwarna kuning bagi mengelak disalah anggap sebagai penyokong perhimpunan itu.

"Mereka pemerhati. Mereka juga menjauhi Dataran Merdeka, yang diisytihar pihak berkuasa Malaysia sebagai kawasan larangan," kata MFA dipetik laman tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MFA itu lagi,  ada keperluan untuk meletakkan diplomatnya di Kuala Lumpur ketika perhimpunan tersebut belangsung kerana ramai rakyat negara republik berkenaan di Kuala Lumpur ingin mendapatkan nasihat.

"Malah, pegawai yang berada di kawasan itu dapat membantu Pesuruhjaya Tinggi dalam menyalurkan nasihat dan bantuan konsular dengan lebih berkesan,"  ujar MFA.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur juga telah menulis surat kepada akhbar Utusan Malaysia semalam menolak dakwaan tersebut.

Akhbar Utusan Malaysia dalam ruangan pendapatnya telah mengatakan,"Pendedahan ini, jika benar, cukup memeranjatkan!” dalam akhbar Umno itu yang bertarikh 20 Jun lalu dan mempersoalkan tindakan kerajaan Malaysia yang berdiam diri dalam perkara tersebut.

Pesuruhjaya Tinggi negara itu turut menyelar akhbar berkenaan dan menegaskan ianya adalah tuduhan 'palsu' dan mereka "mengambil pendirian tidak memihak kepada mana-mana pembangunan politik di Malaysia."

Blogger pro Umno 'mymassa' telah menuduh tiga diplomat Singapura mengadakan ceramah supaya rakyat Singapura menyertai pilihan raya umum ke-13, berdasarkan pendedahan gambar pertemuan berkenaan yang didakwa diambil di Bandar Singa tersebut baru-baru ini.

Pesuruhjaya Tinggi republik itu dalam kenyataan balas berkata," Singapura tidak membenarkan rakyat asing untuk menyertai mana-mana aktiviti politik Singapura. Pihak berkuasa kami sedang meneliti perkara itu."

Bersih 3.0 Singapura semalam menafikan tuduhan itu sebagai 'mengarut', dan menegaskan perbincangan itu adalah dianjurkan rakyat Malaysia, untuk rakyat Malaysia, yang menetap di luar negara berkenaan hak untuk mengundi pada pilihan raya.

Rancangan mengadakan protes di hadapan Kedutaan Singapura di Kuala Lumpur yang didakwa cuba mencampuri urusan dalaman Malaysia gagal mendapat sokongan apabila tiada seorang pun peserta demonstrasi yang hadir.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman, turut memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Ong Keng Yong, yang menjelaskan pendirian Singapura dan menjelaskan tuduhan yang dibuat itu juga tidak berasas.

Akhbar berbahasa Melayu di republik itu turut menjelaskan, MFA menegaskan mereka tidak membenarkan warga asing terlibat dalam aktiviti politik di negara itu, malah, Singapura turut menolak permohonan Bersih 3.0 untuk mengadakan perhimpunan serentak di sini.

"Mengapa kami melakukan begini jika kami mahu campur tangan?'' ujar MFA. (Reuters)

No comments:

Post a Comment