Sunday 15 July 2012

1,473 BANDUAN DIBEBASKAN




KUALA LUMPUR: Seramai 1,473 banduan di seluruh negara yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Rang Undang-Undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 telah dibebaskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata mereka dibebaskan sejak beberapa bulan yang lepas ekoran pengumuman pemansuhan oleh kerajaan terhadap ketiga-tiga akta tersebut.

Ismail berkata, walaupun mereka telah dibebaskan tetapi tetap dikawal serta tempat tinggal mereka juga akan dipantau.

"Selain itu, kita juga akan cuba membantu mereka contohnya kalau tidak ada pekerjaan kita akan berbincang dengan jabatan buruh untuk mengambil mereka bekerja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Taklimat Khas Pemantapan Aktiviti Memerangi Jenayah di Pasukan Gerakan Am, Bridged Tengah di sini semalam.

Beliau juga meminta semua Ketua Polis Daerah sentiasa bekerjasama dalam membantu bekas-bekas banduan tersebut dalam meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Saya juga berharap masyarakat dapat menerima bekas-bekas banduan tersebut dan memberi peluang kerja supaya mereka tidak lagi terbabit dalam kegiatan jenayah,” katanya. (Bernama)

No comments:

Post a Comment