Saturday 21 July 2012

1BORNEO-USIA, BINA 'PUSARA DI LEBUHRAYA?'




Oleh : ZAKARIA AWANG BESAR

1BORNEO yang diakui sebagai Hypermall terbesar di Sabah yang dibina secara usahasama di antara Warisan Harta Sabah Sdn Bhd dan Sagajuta (Sabah) Sdn Bhd dengan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sebagai pemilik tanah difahamkan belum mendapat Permit Menduduki (CF) secara kekal kerana tidak mematuhi pelan dan undang-undang yang berkuatkuasa.

Aktivis Masyarakat dan Hak Asasi Manusia, Datuk Patrick Sindu mendedahkan demikian dalam satu wawancara khas dengan Sabahkini.net setelah memperolehi maklumat dalaman berhubung keselamatan 1Borneo setelah menerima aduan daripada penyewa dan pelabur yang menunggu terlalu lama untuk mendapatkan CF berkenaan.

"Saya dapat maklumat sulit dan telah membuat risikan dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), mereka mengesahkan CF kekal belum dikeluarkan kepada 1Borneo kerana tidak mematuhi syarat yang ditetapkan," ujar Patrick yang meluahkan kebimbangan orang ramai dan pelabur berhubung keselamatan Hypermall tersebut.

Hypermall yang dibina dengan kos lebih daripada RM1 Billion tersebut kata Patrick, telah mengabaikan ciri-ciri keselamatan sehingga Kabinet Negeri Sabah menolak rayuan CF 1Borneo setelah KKTP enggan meluluskan CF tersebut berdasarkan beberapa faktor yang hanya diketahui oleh DBKK dan KKTP.

"Walaupun 1Borneo telah membelanjakan lebih RM330 juta untuk membaiki segala kecacatan pada struktur bangunan akibat kerja cuai dan sambil lewa sub-kontraktor, namun KKTP mengenakan beberapa syarat yang ketat," kata Patrick yang menjelaskan beliau akan menemani penyewa dan pelabur membuat laporan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu.

Patrick turut menegaskan bahawa beliau mendapat tahu salah satu keperluan utama sebelum kelulusan CF dikeluarkan kepada 1Borneo ialah pembinaan Jejantas yang merentasi Lebuhraya Sulaman sebagaimana yang disyaratkan dalam pelan pembangunan asal, namun gagal dilaksanakan 1Borneo.

Tegas Patrick, faktor keselamatan yang diabaikan kerana 1Borneo yang terlalu mementingkan keuntungan menyebabkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda bagi pengguna pengangkutan seperti bas yang menurunkan penumpang di sebelah lebuhraya yang sibuk.

"Tanpa jejantas, bolehlah kita umpamakan 1Borneo sebenarnya adalah 'Pusara Di Lebuhraya' dan bukannya Hypermall yang dibanggakan kerana sehingga kini banyak kemalangan dan kehilangan jiwa berlaku," kata Patrick yang mengecam tindakan pemilik tanah iaitu USIA yang gagal memantau tindak tanduk rakan kongsi mereka.

Patrick turut mendesak agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor mengambil pendirian tegas demi keselamatan orang awam, sekalipun anak orang kenamaan menjadi pemilik saham 1Borneo sebelum ini.

6 comments:

  1. jika dilihat byk keretakan berlaku pada bangunan 1Borneo, ia mmg agak membimbangkan akan tahap keselamatan bangunan tersebut.

    ReplyDelete
  2. sub-kontraktor perlu dikenakan tindakan sebab buat kerja sambil lewa. lain kali jangan bagi mereka projek lagi.

    ReplyDelete
  3. Tidak mematuhi syarat yang ditetapkan. Jika begitu kenapa boleh 1B itu beroperasi kalau keselamatan tidak terjamin. Bukankah itu akan menjejaskan pengunjung dan peniaga ditempat itu.

    ReplyDelete
  4. Penjelasan yang perlu untuk 1 Borneo ini yang dibanggakan di Sabah ini. Perlu disiasat akan struktur bangunan yang dikatakan ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang perlu penjelasan untuk mengelak salah faham

      Delete
  5. Betul atau tidak kita patut tunggu respon balas dari pihak berkuasa.

    ReplyDelete