DATUK Seri Najib Tun Razak
mempelawa rakyat Malaysia menyumbang idea, berkongsi cadangan dan pendapat
mereka mengenai Bajet 2013 secara online bermula hari ini sehingga 29 Julai.
Perdana Menteri berkata
platform itu merupakan peluang bagi semua rakyat Malaysia mengemukakan idea dan
input mereka untuk pertimbangan Kementerian Kewangan.
Orang ramai boleh
menyuarakan pendapat mereka dengan mengklik bahagian yang disediakan pada entri
terbaharu blog beliau www.1malaysia.com.my yang bertajuk 'Bajet 2013: Saya Hargai Cadangan Anda'.
"Pada 28 September akan
datang, saya akan membentangkan Bajet Negara untuk tahun 2013 bagi pihak
kerajaan persekutuan selaku menteri kewangan. Pada saya, adalah penting agar
rakyat diberikan peluang untuk menyuarakan cadangan dan pendapat mereka tentang
cara terbaik untuk bawa negara kita ini ke hadapan di pentas dunia dari segi
sosial dan ekonomi.
"Seperti tahun-tahun
sebelum ini, saya amat berharap agar dapat menerima idea-idea baharu yang
bernas serta penyelesaian yang berpotensi daripada rakyat Malaysia," kata
Najib dalam blog beliau hari ini.
Perdana Menteri berkata
platform itu akan memberi tumpuan terhadap beberapa topik iaitu kos sara hidup,
keselamatan awam, harga hartanah, peranan belia dalam kreativiti dan juga
isu-isu yang mempengaruhi kehidupan rakyat.
"Pada masa ini, kurang
daripada 10 peratus rakyat Malaysia yang membayar cukai. Oleh itu cabaran utama
bagi kita adalah untuk memperluas dan mengubah sumber pendapatan negara bagi
memastikan defisit bajet dikekalkan pada paras boleh urus agar perbelanjaan
tidak melebihi kemampuan kita," katanya.
Untuk mencapai matlamat ini,
beliau berkata kerajaan perlu memberikan tumpuan terhadap perangsangan
pelaburan dalam negeri serta menarik pelaburan asing melalui Program
Transformasi Ekonomi.
"Kita sudah pun membuat
permulaan yang kukuh di mana LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) tahun lalu telah
mengumpul sebanyak RM110 bilion hasil, dan ini
membolehkan kita membiayai perkhidmatan-perkhidmatan utama bagi
kebajikan rakyat seperti BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan baucar buku.
"Bagi mengekalkan
momentum ini, kita perlukan semua rakyat Malaysia untuk menyumbang idea mereka,
dan oleh itu saya ingin menjemput anda semua untuk turut serta dalam
perbincangan Bajet 2013 ini," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment