BANTING : Polis memberkas
seorang pembantu rumah dan suaminya, kedua-dua warganegara Indonesia, dan
berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan yang diculik
dari rumah keluarga angkatnya di Skudai, Johor Ahad lepas.
Timbalan Ketua Polis Kuala
Langat DSP Rizani Che Ismail berkata berdasarkan maklumat, polis menahan
pembantu rumah berusia 24 tahun kira-kira 3.30 petang semalam sebelum menahan
suaminya yang bekerja sebagai buruh berusia 47 tahun dalam serbuan di sebuah
rumah sewa di Taman Seri Jenjarum dekat sini.
"Polis turut
menyelamatkan bayi berkenaan yang berada di dalam rumah itu," katanya kepada
pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini hari ini.
Beliau berkata polis belum
dapat mengenal pasti motif penculikan bayi itu. Katanya anak angkat kepada
sepasang suami isteri itu dilaporkan diculik pembantu rumahnya kira-kira pukul
6 pagi dari rumah mereka di Taman Impian Emas, Skudai, Johor sebelum dikatakan
dilarikan ke Klang.
"Kejadian itu disedari
oleh anak kandung pasangan itu berusia sembilan tahun yang melihat adik
angkatnya dilarikan oleh pembantu rumah itu dengan menaiki sebuah teksi,"
katanya.
Susulan kejadian itu, satu
laporan polis dibuat ibu angkat mangsa kira-kira pukul 10.50 pagi di IPD Johor Baharu Utara
Ahad lepas dan siasatan terhadap kes itu mengesan bayi itu dilarikan ke Klang.
Katanya IPD Kuala Langat
yang menerima maklumat berhubung kes itu menubuhkan pasukan penyiasat khas bagi
mengesan penculik itu. Beliau berkata siasatan mendapati pembantu rumah itu
telah menetap selama setahun di negara ini dan bekerja selama empat bulan dengan
majikannya itu sebelum melarikan bayi itu.
Rizani berkata kes itu
disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang daripada jagaan, yang
memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment