BEKAS Ketua Wanita Umno Cawangan
Bukit Hangus, Halimah Yunus, 66, ditemui mati berlumuran darah di rumahnya di
kampung Bukit Hangus, Jeneri, Sik, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sik, DSP
Mohd Ismail Ibrahim berkata mangsa ditemui dengan kesan kelar di leher kiri,
oleh suaminya, Mee Hashim, 63, dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah mereka
kira-kira 9.20 malam.
Beliau berkata polis masih
menyiasat motif pembunuhan itu kerana tiada barang berharga yang hilang ketika
kejadian. Senjata yang digunakan juga masih belum ditemui.
Katanya, ketika kejadian
mangsa berseorangan di rumah manakala rumah jiran yang terdekat terletak
kira-kira 200 meter daripada tempat kejadian.
Sementara itu, Mee berkata
beliau menemui isterinya dalam keadaan berlumuran darah semasa pulang ke rumah
selepas menunaikan solat Tarawih di surau.
"Waktu tu arwah penuh
darah tapi boleh bercakap lagi, dia bagi tau ada seorang lelaki tikam dia.
Kemudian saya minta tolong jiran bawa arwah ke hospital Sik," katanya
ketika ditemui di rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar,
hari ini.
Katanya, dia dan arwah hanya
mempunyai seorang anak perempuan berusia 46 tahun yang telah berkahwin dan
tinggal bersama suami di Sungai Petani.
Mee berkata terdapat kesan
pecah masuk di pintu belakang rumahnya namun tiada barang berharga yang hilang
termasuk barang kemas yang dipakai arwah isterinya.
Menurut Mee, isterinya
seorang yang sangat mengambil berat tentang hal masyarakat dan mempunyai
hubungan yang baik dengan orang-orang kampung.
"Arwah tinggal seorang
diri di rumah waktu saya pergi sembahyang tarawih malam tadi sebab dia tak
sihat sejak kena sakit penat (asma) beberapa tahun lepas," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment