Thursday 26 July 2012

BENGKEL VIDEO DIGITAL DI SABAH 3-5 OGOS




PARA peminat bidang videografi dan fotografi berpeluang menyertai Bengkel Intensif Asas Pengarahan Dan Penerbitan Video Digital anjuran bersama Bestoborneo, Avicraft, Ampal Production dan Persatuan Pengarah Malaysia (FDAM) di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu pada 3 hingga 5 Ogos ini.

Menurut salah seorang penganjur, Rasyed Abu Bakar yang juga Koordinator Program, bengkel tersebut bertujuan memberi ilmu asas profesional dalam aspek pengarahan serta pengurusan sesebuah produksi video.

Katanya, selama 3 hari diadakan, penganjur akan menyediakan tempat tinggal untuk peserta terutamanya yang tinggal jauh bagi membolehkan mereka menyertai sesi pada sebelah malam.

Secara keseluruhannya, para peserta akan disajikan pelbagai pengetahuan yang menjurus kepada aspek penerbitan seperti Pra Produksi (Skrip/Pengurusan/ Pengarahan), Produksi (Kamera/Pencahayaan/Penggambaran) dan Pasce Produksi (Capturing/Editing Offline/Grafik/Editing Online).

Beliau menjelaskan, yuran penyertaan bagi kursus tersebut berjumlah RM800 di mana RM50 adalah untuk tujuan pendaftaran manakala selebihnya ada untuk tujuan membiayai kursus.

Selain Rasyed, antara tenaga pengajar bertauliah yang akan mengendalikan keseluruhan bengkel berkenaan ialah Jamil Mutalib yang juga Pengerusi Biro Latihan Dan Apresiasi FDAM, Khalid Sulaiman yang juga salah seorang tenaga pengajar FINAS dan Dicky Adrian (penyunting profesional).

Rasyed menambah, selain akan dianugerahkan sijil penyertaan, para peserta dalam penganjuran bengkel ini juga akan sentiasa diutamakan dalam mana-mana bengkel pertengahan dan Advance kelak.

Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai program tersebut boleh menghubungi Rasyed melalui nombor (017-8284328 / 013-8783370).

Ditanya kemungkinan kriteria peserta yang diinginkan penganjur, Rasyed menjelaskan mereka yang bercita-cita mahu mengarah, terlibat sebagai videographer secara amatur, mahu menjadi penerbit syarikat produksi, baru berjinak-jinak dalam bidang penerbitan video, mahu mendalami ilmu pengurusan penerbitan, mahu mengetahui bidang editing/suntingan, mahu mengetahui asas penulisan skrip, mahu menambah ilmu, mereka yang punya masa dan mahu menambah jaringan rakan dalam bidang produksi filem atau video. (ST)

No comments:

Post a Comment