PENULIS blog pro-BN menyelar
Berita Harian ekoran laporan yang menonjolkan penamatan khidmat bekas ketua
pengarah perkhidmatan awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
Penulis blog berkenaan
menimbulkan isu berkenaan kerana berpendapat penamatan khidmat penjawat awam
kanan itu sepatutnya tidak diperbesar-besarkan.
Wartawan veteran dan Datuk
Ahiruddin Atan yang menulis di rockybru.com.my berkata beliau bimbang kerana
penulis blog pro-establishment berasa tidak senang dengan kumpulan akhbar NSTP,
terutama pengarang urusan kumpulan kanannya, Datuk Jalil Abdul Hamid.
Satu lagi blog pro-Umno,
Unspinners pula menyifatkan laporan Berita Harian itu sebagai satu 'sabotaj' ke
atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menuntut supaya Jalil dipecat.
Spekulasi yang timbul di
blog sebelum ini mengatakan bahawa Abu Bakar ditamatkan perkhidmatan ekoran
skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang mencetus kontroversi kerana ia
memberi peningkatan gaji yang tinggi kepada pengawai kanan tetapi hanya
peningkatan serendah RM10 kepada pekerja bawahan.
"Jalil nampaknya
bersekongkol memalukan Perdana Menteri dengan membela Abu Bakar melalui cara
memberi ruang untuk dia menyuarakan rungutan.
"Sudahlah Najib
dimalukan kerana terpaksa menukar keputusan, laporan tersebut akan dianggap
seolah-olah Abu Bakar telah dianiayakan," tulisan di laman
theunspinners.blogspot.com itu dipetik.
Najib pada 8 Mac lalu
mengumumkan bahawa SBPA akan dimansuhkan selepas rancangan itu menerima
kritikan keras daripada kakitangan awam.
Abdul Jalil dilantik sebagai
pengarang urusan kumpulan NSTP pada 15 Oktober tahun lalu.
Sebelum itu, Abdul Jalil
merupakan Pengurus Besar Kanan di Jabatan Hal Ehwal Korporat Suruhanjaya
Sekuriti pada 2009 sebelum dipinjamkan ke jawatan Ketua Komunikasi Kebangsaan di
Pejabat Perdana Menteri.
Abu Bakar dalam Berita
Harian dilaporkan sebagai berkata beliau tidak bersara namun khidmatnya
diberhentikan oleh kerajaan.
Abu Bakar berkata beliau
menerima surat penamatan khidmatnya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam yang
menyatakan bahawa khidmatnya berakhir pada 1 Julai.
Tambahnya, beliau berhasrat
untuk bersara pada usia 60 tahun namun disebabkan penamatan awal itu, kuantum
pencen dan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjanya hanya dikira sehingga 30
Jun tahun ini.
Abu Bakar, 57, telah
berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 35 tahun.
No comments:
Post a Comment