Saturday 7 July 2012

BN BERHUTANG DEMI KEANGKUHAN



SERAH …..Siti Aisah menyerahkan panji-panji PKR kepada salah seorang Ketua Ranting PKR.

OLEH SHAIMON S JUMADI

KETUA Seri Kandi Malaysia Parti KeADILan Rakyat (PKR), Siti Aisah Sekh Ismail berkata kerajaan Malaysia telah berhutang dengan negara luar berjumlah RM456 billion demi keangkuhan mereka memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat dengan tujuan untuk menarik sokongan rakyat kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang tidak telus dan ikhlas itu.

Katanya, para pemimpin kerajaan UMNO dan BN terlalu tamak dan rakus semata-mata mahu mencari keuntungan dengan pelbagai kaedah, tetapi rakyat terus terpinggir dalam arus perdana pembangunan.

Aisah berkata, demikian ketika berucap di Majlis Ceramah Perdana Suara Anak Muda Parti KeADILan Rakyat (PKR) bersempena Majlis Pengistiharan Penyerahan Panji-Panji PKR kepada lebih 40 Ketua Ranting PKR Semporna yang dilangsungkan di perkarangan kediaman Ketua Seri Kandi PKR Cabang Semporna, Nazmahwati Walli di Taman Marimas II, Semporna semalam.




KENANGAN….Para Pemimpin Kanan PKR bergambar dengan sebahagian Ketua Ranting.

Katanya, perbuatan songsang kebanyakan pemimpin UMNO rakyat di Sabah khususnya di Semporna sudah bermaharaja lela sehingga rakyat jelak kerana terlalu banyak menabur janji; tetapi dalam 10 janji yang ditebarkan, mungkin hanya satu sahaja yang ditunaikan, selebihnya merupakan satu pembohongan besar kepada rakyat.

Aisah menambah, tindakan kerajaan UMNO-BN melambat-lambatkan pilihanraya umum ke 13 (PRU 13) diadakan ini merupakan satu tindakan yang bijak kerana semakin lama semakin banyak isu songsang kerajaan UMNO-BN diselongkar dan didedahkan kepada semua rakyat di negara ini.

Sebagai pendekatan, kata Aisah, di Semporna sudah 20 tahun 'dijajah' oleh UMNO-BN tetapi tidak ada perubahan besar dalam pembangunan prasarana termasuk janji hendak membina jambatan Pulau Bum Bum semakin hari semakin kabur.

"Tetapi sebaliknya pula, Ahli Parlimen Sermporna mampu memberikan sejumlah RM1.5 juta kepada artis pujaan hatinya iaitu Zahidah Rafik dan memberikan seribu alasan untuk pembangunan Semporna," ujarnya.

Tambah Aisah, beliau berpendapat tindakan Perdana Menteri Najib Tun Razak memberikan subsidi empat biji tayar dan pembelian insuran percuma kepada para pemilik teksi (syarikat dan individu) merupakan satu pembaziran wang rakyat.

"Kenapa teksi sahaja yang diberikan keutamaan mendapatkan subsidi sedemikian rupa? Bagaimana pula dengan kenderaan pengangkutan awam lainnya seperti bas-bas mini yang ada di dalam negara ini? Kenapa mereka terpinggir untuk mendapatkan subsidi tersebut?" kata Aisah.

Katanya lagi, jika teksi dianggap sebagai duta kepada Barisan Nasional, apa bezanya pula dengan Bas-Bas yang lain yang merupakan pengangkutan awam  yang sama fungsinya dengan teksi?

Majlis Ceramah Perdana yang bertemakan 'Ke Arah Momentum Gelombang Perubahan Kepimpinan' telah dihadiri lebih 600 orang penyokong PKR yang datang dari pelbagai ranting daripada 20 kampung di tiga kawasan DUN Sulabayan, Bugaya dan Senalang.

Turut hadir pada sesi ceramah tersebut ialah Ketua Seri Kandi PKR Negeri, Munira; Ketua Seri Kandi PKR Cabang Semporna, Nazmawati Walli dan Ketua Cabang PKR  Semporna Lokman Ureh.

No comments:

Post a Comment