Wednesday 11 July 2012

CINA SUKAR MASUK IPT DI ERA ANWAR BERKUASA




Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mendakwa, masyarakat Cina menghadapi masalah berhubung pendidikan di Malaysia semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran.

Beliau mendakwa, semasa Anwar memegang jawatan tersebut, masyarakat Cina sukar dapat memasuki universiti kerana Bekas Menteri Kewangan itu hanya mengutamakan bumiputera.

"Kami menghadapi masalah semasa Anwar menjadi menteri dulu. Ramai yang memohon taraf penduduk sementara di sesebuah negara semata-mata untuk pendidikan kerana semasa Anwar menjadi Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri, dia menghadkan bukan bumiputera untuk masuk ke universiti," kata Chua.

Presiden MCA itu mendakwa demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden parti itu petang ini.

Chua berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan pemberita mengenai pemohonan taraf penduduk sementara (PR) Australia oleh Naib Presiden MCA, Datuk Sei Ng Yen Yen 17 tahun lalu demi pendidikan anaknya.

Anwar menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 1986 hingga 1990 sebelum dilantik menjadi Menteri Kewangan seterusnya Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Chua turut menegaskan, selepas ini beliau tidak akan menerima mana-mana pelawaan daripada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk berdebat.

Menurut Chua, berdebat dengan Ketua Menteri Pulau Pinang itu merupakan satu pembaziran masa dan tenaga kerana Chua berpendapat, Lim tidak menjawab soalan yang diajukan.

"Setelah mengadakan mesyuarat, kami sebulat suara bersetuju tidak akan berdebat lagi dengan Lim Guan Eng kerana hanya membuang masa.

"Lim Guan Eng hanya menggunakan pentas debat itu untuk mengambil kesempatan menabur fitnah dan berkempen. Tetapi dia tidak pernah menjawab soalan yang ditanya. Saya tidak akan lagi bersetuju untuk berdebat dengan Lim Guan Eng," kata Chua.

Dalam pada itu, mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebelum ini yang berhasrat untuk menyaman MCA berhubung isu Talam Corporation Berhad, Chua berkata, pihaknya mengalu-alukan tindakan tersebut.

"Menteri besar Selangor berkata, mereka akan menyaman. Kami mengalu-alukan untuk saman kami. Kami juga kecewa, selepas dua tahun dia (Khalid) berjanji untuk bentang di sidang Dun, tetapi sehingga kini tiada apa-apa.

"Adakah tindakan menyaman kami adalah untuk takutkan kami supaya tidak bercakap dan takut kami akan bongkarkan lebih banyak lagi maklumat?," kata Chua lagi. (MKINI)

No comments:

Post a Comment