Sunday 29 July 2012

CONTOHI CSR YS DAN SAWIT KINABALU




SILATURAHIM ... Musa semasa menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh Juslie dan Zakaria pada majlis itu.

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman, berkata tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan Yayasan Sabah (YS) dan Sawit Kinabalu yang sentiasa tampil untuk membantu rakyat di negeri ini khususnya menjelang bulan Ramadan al-Mubarak perlu dijadikan sebagai contoh oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedia ada.

Ini katanya, syarikat-syarikat GLC turut memainkan peranan penting dalam membangunkan negeri dan sekali gus membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

Katanya, penghargaan dan terima kasih wajar diberikan kepada syarikat-syarikat dan agensi berkenaan yang begitu prihatin dalam menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan seperti golongan kurang berkemampuan, Orang Kelainan Upaya (OKU), anak yatim dan warga emas seterusnya meringankan beban menjalani ibadah puasa sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan sempena Ramadan di Masjid Al-Kudus, Peringkat 3 di Rancangan Sungai Manila, dekat sini, petang Jumaat lepas.

Selepas majlis itu, Musa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga dan Ketua Umno Bahagian Libaran turut berbuka puasa dan seterusnya menunaikan solat tarawih bersama masyarakat di perkampungan berkenaan.

Dalam pada itu, Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri menegaskan kerajaan negeri sentiasa prihatin dalam menyediakan pembangunan dan akan terus menghulurkan bantuan kepada rakyat di negeri ini.

“Kita akan terus berusaha membangun negeri ini bagi memastikan rakyat terus hidup dalam suasana aman dan harmoni,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat juga sewajarnya sentiasa mengutamakan perpaduan dan bersyukur dengan nikmat pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Kita juga harus mengambil iktibar dengan keadaan di negara-negara luar yang mana sering berlaku huru-hara dan pergolakan. Puncanya disebabkan perpaduan yang sudah terhakis. Tapi, di negara ini kita dapat menjalani kehidupan yang tenteram,” katanya sambil mengajak rakyat negeri ini sentiasa memperkukuhkan kerjasama dan bersyukur kerana berada dalam negara yang aman damai.

Hadir sama, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol dan Adun Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris. (ST)


No comments:

Post a Comment