Oleh : ABDUL RAHIM SABRI
& ABDUL HAFIZ YATIM
SEORANG peguam yang
meninggalkan negara ini sejak tahun lalu berkata dokumen pemindahan hakmilik
pesawat yang dimiliki Almarhum Sultan Iskandar kepada anakandanya dan
pemindahan wang sejumlah RM60 juta kepada Amanah Raya, adalah dokumen yang sah.
Peguam Kamal Hisham Jaafar yang
dikatakan mnghadapi konflik dengan Sultan Ibrahim Ismail berhubung pertikaian
harta pusaka sehingga menyebabkan penahanan penulis blog Uncleseekers -
mendakwa tidak tahu menahu bagaimana dokumen tersebut disiarkan dalam blog
tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak
bersetuju bahawa dua dokumen tersebut telah diletakkan di bawah Akta Rahsia
Rasmi (OSA).
Bercakap dalam sidang media
melalui telefon dari Dubai, Kamal Hisham berkata dokumen itu tidak ada kena
mengena dengan kerajaan atau undang-undang, dan beliau bingung mengapa polis
mengklasifikasikan penangkapan tersebut sebagai kes OSA.
"Saya di sini hanya
boleh mengesahkan bahawa dua dokumen yang membabitkan harta pusaka berbentuk
pesawat dan dokumen yang wang RM60 juta dipindahkan ke Amanah Raya adalah
dokumen yang betul dan tandatangan di dokumen tersebut adalah tandatangan
saya," katanya.
"Datuk Shafee dan Datuk
Ramli Yusuf datang ke Dubai jumpa saya, untuk menandatanganinya dan kami
berbincang, itulah cara untuk menyelamatkan keadaan," kata Kamal dalam
sidang media itu.
Beliau yang juga pesuruhjaya
sumpah berkata ramai pihak boleh 'mengakses' dokumen tersebut.
Kamal menegaskan bahawa
beliau tidak pernah mengenali, mengupah atau berjumpa dengan Uncleseekers yang
nama sebenarnya Syed Abdullah Hussein Al Atas, bahkan beliau (Kamal Hisham)
turut dikritik dan dikutuk dalam blog tersebut. (MKINI)
No comments:
Post a Comment