Friday 13 July 2012

FELDA TINDAS MURUT DI KALABAKAN?




PELAN......Zulkarnain menunjukkan pelan kedudukan tanah yang diperuntukkan untuk Rancangan Penempatan Murut Kalabakan.

Oleh : ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

KOTA KINABALU: Penduduk Murut Kalabakan terkilan kerana hak mereka untuk menjadi peneroka diketepikan padahal tanah seluas 8,680 ekar yang diperuntukkan kepada Felda adalah dibangunkan untuk kaum Murut.

Wakil penduduk, Peter Koh @ Zulkarnain berkata penduduk meminta penjelasan daripada pihak terbabit kerana hak mereka terhadap tanah itu tidak dipedulikan, malah tidak ada seorangpun penduduk Murut Kalabakan diambil sebagai peneroka dan tidak ada sebuah rumahpun dibangunkan untuk mereka.

Beliau mendakwa Felda tidak menepati janji kepada penduduk Murut Kalabakan yang pada awalnya berjanji untuk mengambil penduduk sebagai peneroka tetapi tidak ditunaikan.

Menceritakan kronologi peristiwa itu dalam pertemuan dengan Utusan Borneo di sini, Zulkarnian memberitahu pada tahun 1977, kerajaan negeri Sabah telah memberikan tanah seluas 10,000 ekar kepada 104 keluarga di Kampung Murut Kalabakan untuk tujuan membalak, seterusnya membangunkan kawasan itu dengan penanaman kelapa sawit dan lain-lain tanaman.

Beberapa tahun kemudian, beberapa syarikat datang silih berganti untuk menawarkan usaha sama membangunkan kawasan itu, tetapi ditolak penduduk kampung selepas mendapat nasihat bekas Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Suffian Koroh atas alasan tidak sesuai.

Adalah jelas bahawa tanah itu hendaklah dibangunkan untuk kaum Murut untuk Rancangan Penempatan Murut Kalabakan.

Bagaimanapun, pada tahun 1982, pihak Felda yang sedang membangunkan Kawasan Umas-Umas telah menyampaikan hasrat untuk membangunkan tanah berkenaan.

Pengerusi Felda ketika itu, Tan Sri Raja Muhammad Elias Raja Muhd Ali, telah menjelaskan kepada Ketua Kampung Murut Kalabakan, KK Baukom serta 104 keluarga atas niat baik Felda untuk membangunkan tanah berkenaan dan kemudian mengambil penduduk kampung sebagai Peneroka Felda Kalabakan.

“Saya terlibat secara langsung dalam perundingan itu kerana saya diamanahkan oleh Tan Sri Suffian Koroh, yang menjawat Timbalan Ketua Menteri selaku Penasihat Suku Kaum Murut,” katanya yang merupakan mantan Setiuasaha Sulit Tan Sri Suffian Koroh.

Katanya, penduduk diberitahu bahawa Felda tidak sama sekali berniat mengambil tanah tanpa membangunkan tanah dan diberi balik kepada mereka dengan cara menjadikan mereka sebagai peneroka.

Akhirnya, penduduk bersetuju menyerahkan tanah seluas 8,680 ekar kepada Kerajaan Negeri untuk diserahkan kepada Felda untuk dibangunkan. Pada tahun 1983, Felda mula membangunkan tanah seluas 8,680 ekar bersama tanah yang lain atas usaha Tan Sri Suffian dengan Kerajaan Negeri ketika itu.

Menurutnya, pada tahun 1986, Felda telah mengadakan temuduga untuk pengambilan peneroka dan satu lagi temuduga diadakan pada 1992.

Zulkarnain berkata, segala janji Felda kepada 104 keluarga itu tidak ditunaikan. “Tiada pengambilan peneroka dibuat dan tiada pula perumahan telah dibina untuk peneroka di kawasan itu,’ katanya.

Ekoran itu, beberapa perjumpaan telah dibuat untuk mendapatkan penjelasan tetapi jawapan yang diberi hanya meminta kaum penduduk Murut Kalabakan bersabar dan keputusan akan dibuat oleh ibu pejabat Felda Kuala Lumpur.

Zulkarnain memberitahu beliau sering ditanya penduduk mengenai tanah itu tetapi beliau juga meyakinkan mereka bahawa Felda sebagai sebuah syarikat besar tidak akan menghampakan penduduk kaum Murut.

“Dia orang (mereka) selalu tanya tetapi saya yakinkan mereka, Felda adalah sebuah syarikat besar yang tidak akan menghampakan penduduk Murut Kalabakan,” katanya.

Bagaimanapun, setelah didesak oleh penduduk, pada tahun 1996, pihak Felda datang ke Kalabakan dan meminta penduduk menubuhkan sebuah koperasi dengan alasan mereka tidak mengambil peneroka yang berusia di atas 40 tahun.

Sehubungan itu, penduduk menubuhkan Koperasi Pembangunan Murut Kalabakan Berhad yang dianggotai kira-kira 239 ahli.

Semasa penubuhan koperasi, Ketua Menteri ketika itu, Datuk Osu Sukam memberi jaminan bahawa penduduk tidak perlu risau kerana seorang ahli akan menerima bayaran dividen sebanyak RM7,000.

Selepas ditolak RM2,000 bayaran untuk jadi ahli koperasi, bayaran RM5,000 setiap seorang. Tetapi ahli koperasi hanya layak mendapat RM3,000 dengan alasan kelapa sawit sudah tua dan perlu ditanam semula.

“Saya mahu tanya, apakah munasabah pembayaran RM3,000 setiap tahun sedangkan harga sawit cukup tinggi?,” soalnya sambil menambah, peneroka kelapa sawit boleh mendapat hasil sebanyak RM4,000 sebulan.

“Apakah bayaran ini berbaloi dengan hasil tanah yang diperolehi daripada 8,680 ekar yang dibangunkan oleh mereka,” katanya.

Selain itu, beliau melahirkan rasa terkilan kerana penduduk Kampung Murut Kalabakan dikatakan tidak layak menerima bayaran dividen RM15,000 yang dibayar oleh kerajaan seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, mereka dikatakan tidak layak menerimanya kerana mereka bukanlah peneroka, padahal tanah seluas 8,680 ekar berkenaan adalah jelas dibangunkan untuk peneroka Murut Kalabakan.

Zulkarnain berkata, beliau bersedia berjumpa dengan Perdana Menteri untuk menjelaskan perkara ini dan bagaimana Felda tidak menepati janjinya kepada penduduk Kalabakan.

“Saya sedia berjumpa bila-bila masa untuk mnenyelesaikan perkara ini,” katanya sambil menyatakan kesediaan untuk menemui Pengerusi Felda untuk memberikan penjelasan mengenai perkara berkaitan isu tanah Kalabakan itu. (UB)

17 comments:

  1. pihak FELDA harus turun padang dan berjumpa dengan penduduk untuk menyelesaikan isu ini..

    ReplyDelete
  2. dan diharapkan juga agar PM campur tangan dalam isu ini..

    ReplyDelete
  3. Felda kena perjelaskan hal ini dan tunaikan janji mereka.

    ReplyDelete
  4. hak mereka untuk menjadi peneroka diketepikan padahal tanah seluas 8,680 ekar yang diperuntukkan kepada Felda adalah dibangunkan untuk kaum Murut.

    Semoga pihak Felda turun padang dan membuat penjelasan apa yang berlaku?

    ReplyDelete
  5. janji-janji yang dibuat harus ditunaikan agar tidak mengecewakan rakyat.

    ReplyDelete
  6. Zulkarnain berkata, beliau bersedia berjumpa dengan Perdana Menteri untuk menjelaskan perkara ini dan bagaimana Felda tidak menepati janjinya kepada penduduk Kalabakan.

    Semoga PM memahami keadaan dan campur tangan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

    ReplyDelete
  7. Isu tanah sering isu yang serius di Sabah. Perampasan tanah.. Hak milik ditukar milik dll.

    ReplyDelete
  8. Semoga Felda akan emnunaikan janji yang dibuat untuk penduduk di Murut Kalabakan.

    ReplyDelete
  9. Felda harus tampil dan membuat penjelasan.

    ReplyDelete
  10. Kenapa ada saja masalah Felda ni?

    ReplyDelete
  11. Apa yang telah Felda janjikan kepada penduduk murut di Kalabakan itu seharusnya ditunaikan sebaiknya. Jangan lupakan janji yang telah diberikan.

    ReplyDelete
  12. Felda sepatutnya membantu para peneroka

    ReplyDelete
    Replies
    1. dan penduduk yang mempunyai tanah juga tidak perlulah menyerahkan tanah mereka kepada syarikat2 besar untuk dibangunkan.. jangan ambil jalan mudah.. usahakan sendiri tanah itu..

      Delete
  13. kenapa penduduk Murut di kawasan itu tidak membangunkan saja tanah2 mereka? kenapa perlu tunggu syarikat2 besar yang bangunkan?? kemudian bila sudah ada hasil baru pertikaikan itu dan ini.. salah siapa?

    ReplyDelete
  14. cara terbaik untuk menyelesaikan masalah ini ialah dengan memanjangkan aduan ini kepada suhakam atau minta bantuan daripada peguam Kong Hong Ming..

    ReplyDelete