Oleh : ABDUL RAHIM SABRI
GERAKAN Mansuhkan ISA (GMI)
membidas tulisan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam
Twitternya yang memilih hidangan 'lamb
chops' di kala tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mogok lapar.
GMI menyifatkan kenyataan
Hishammuddin itu sebagai "tidak mahu bertanggungjawab untuk membebaskan
tahanan tersebut yang sedang mogok lapar".
Setiausaha GMI, Ahmad Syukri
Ab Razab berkata kenyataan seumpama itu "sudah dijangka" oleh
pihaknya sejak tahanan terbabit melancar mogok lapar Mei lalu.
"Sebelum ini dia kata
mogok lapar itu pilihan sendiri... (Satu) kenyataan yang tidak
bertanggungjawab. Beliau sendiri tahu bahawa beliau ada kuasa untuk bebaskan
tahanan.
"Yang jadi penentuan
(ialah) sama ada (guna) budi bicara (beliau) untuk mengambil tanggungjawab
membebaskan tahanan ataupun tidak.
"Kalau beliau
menunjukkan kenyataan sebegini, kita nampak beliau tidak mahu bertanggungjawab
dan membiarkan tahanan mogok lapar," katanya.
Ahmad Syukri yang juga
koordinator NGO hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengulas
kenyataan menteri itu dalam Twitternya malam tadi.
Tertanya-tanya
langkah menteri
Hishamuddin yang juga naib
presiden Umno menulis: "pilihan mereka, lamb chops pilihan aku"
ketika mengulas tweet seorang pengguna lain berbunyi "Amboi tahanan ISA
mogok lapar kau makan lamb chops..."
Ahmad Syukri menggesa Hishammuddin
mencontohi amalan di negara luar seperti Carlifonia yang menubuhkan
jawatankuasa bagi menyelesaikan masalah mogok lapar di penjara Pelican Bay.
"Tetapi kenyataan yang
keluar daripada mulut menteri kita begitu (mengenai lamb chops)," katanya
sambil menegaskan pihaknya akan meneruskan pendedahan dan tekanan terhadap
kerajaan membebaskan tahanan kerana "itu sahaja pilihan yang ada".
Mengulas sikap diam
Hishammuddin daripada mengulas isu mogok lapar, Ahmad Syukri berkata hal
demikian menunjukkan kerajaan tidak bersungguh untuk menyelesaikannya.
Bahkan, tambahnya, semua
pihak tertanya-tanya kini mengenai tindakan kerajaan sama ada untuk membebaskan
awal tahanan atau menilai situasi tahanan dalam kem tersebut setakat ini.
"Adakah ada satu jawatankuasa
atau satu badan khas ditubuhkan untuk melihat (kes itu) atau menilai untuk
membebaskan awal atau tidak.
"Langsung (tidak ada).
Semua orang tertanya-tanya apa yang Kementerian Dalam Negeri buat," kata
Ahmad Syukri. (MKINI)
No comments:
Post a Comment