KUALA LUMPUR : Hanya 20,000
rakyat Malaysia di luar negara telah berdaftar sebagai pemilih pada Pilihan
Raya Umum (PRU) ke-13 dan bukan lebih setengah juta seperti didakwa oleh pihak
tertentu.
Dakwaan kononnya lebih
500,000 warga Malaysia di luar negara tidak mendapat peluang untuk berdaftar
dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak benar sama sekali, tegas Timbalan
Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Beliau berkata dakwaan itu
tidak berasas apabila proses pendaftaran pengundi yang dibuka di setiap pejabat
perwakilan Malaysia di seluruh dunia tidak mendapat sambutan seperti mana
didakwa.
"Walaupun kita dengar
ada orang cakap lebih setengah juta rakyat Malaysia di luar negara menunggu
untuk mengundi tetapi jumlah yang tampil mendaftar adalah jauh lebih
rendah," katanya pada rancangan 'Hello Malaysia' bertajuk ' SPR: Cabaran
PRU 13' yang disiarkan oleh Bernama TV Isnin malam.
Wan Ahmad berkata rekod di
Wisma Putra menunjukkan jumlah keseluruhan rakya Malaysia di luar negara yang
mendaftar dengan kedutaan hanyalah sekitar 20,000 orang.
Beliau berkata situasi itu
jelas membuktikan mereka yang mendakwa tidak mendapat peluang untuk berdaftar
sebenarnya tidak berminat untuk mengundi dan boleh disifatkan sebagai satu
andaian pihak tertentu yang berkepentingan.
Beliau juga menegaskan pihak
yang meninggalkan negara atas sebab untuk mencari peluang pekerjaan sebenarnya
adalah pengundi biasa berbanding diplomat, pegawai kerajaan yang diarahkan
bertugas serta pelajar yang menuntut secara sepenuh masa di luar negara.
Katanya, disebabkan Parlimen
telah memutuskan supaya mereka turut diberikan hak mengundi, SPR telah
berbincang dengan Wisma Putra dan Jabatan Imigresen bagi mengenal pasti hanya
mereka yang direkodkan pernah pulang ke tanah air sekurang-kurangnya sekali dalam
lima tahun dibenarkan untuk mengundi.
Wan Ahmad berkata apabila
telah mendaftar, mereka yang berkenaan perlu memohon untuk mengundi pos bagi
membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pilihan raya.
"Ini satu syarat yang
boleh diterima kerana kalau dia hendak menentukan masa depan negara untuk
mengundi dalam pilihan raya, kalau dia tidak pernah balik ke negara sendiri
selama tempoh itu, bagi saya dia tidak berminat lagi untuk menjadi rakyat
Malaysia," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment