Sunday 22 July 2012

HARGA MAKANAN PASAR RAMADAN MELAMBUNG





Oleh : NOMY NOZWIR

SHAH ALAM : Harga sewa tapak yang dikenakan oleh pihak urusetia Pasar Ramadan (PaRam) punca harga makanan meningkat sempena Ramadhan tahun ini, menurut rungutan dari peniaga-peniaga PaRam di sini, hari ini.

Tinjauan dari harga makanan di PaRam pada tahun ini di seluruh negara, menurut respon dari Twitter dan Facebook menunjukkan peningkatan harga makanan lebih mahal dari tahun-tahun yang lepas.

“Di Sabah misalnya, harga air tebu berharga sekitar RM7, di sesetengah tempat terutamanya di AsiaCity, Kota Kinabalu — harga air tebu sebotol mineral besar berharga RM10,” menurut koresponden #indeksparam dari Kota Kinabalu, Syarifah Nursyahidah dari Sabah.

#indeksparam adalah satu inisiatif dari golongan yang mempunyai akaun laman sosial Twitter untuk memberi informasi terbaru tentang harga makanan di PaRam, serta makanan-makanan menarik untuk kongsian bersama dari mereka yang melihat dari carian pautan (hashtag) tersebut, yang akan disiarkan di The Malaysian Insider setiap hujung minggu sepanjang bulan Ramadhan.

Sebagai perbandingan — harga air tebu rata-rata di Semenanjung berharga lebih kurang RM4-5 satu jag.

Sementara itu, tinjauan di sekitar pasar Ramadan sekitar Shah Alam rata-rata penduduk berkata ia masih berpatutan walaupun mereka merasakan sedikit mahal berbanding tahun lepas.

“Kalau kita tengok, harga murtabak daging dahulunya RM2.50, kini pun sama, cuma ukurannya kecil sedikit. Harga untuk laksa, mi dan mihun sup sekitar RM3.50 hingga RM4, berbanding tahun lalu lebih kurang RM3 hingga RM3.50 sahaja,” kata pengunjung PaRam di Seksyen 18, hari ini.

“Kita berharap kalau harganya mahal, kualiti dan kebersihannya hendak dijaga.

“Dan kita harap peniaga atau pihak urusetia PaRam tidak mengambil kesempatan dengan menekan rakyat dengan harga yang tidak berpatutan.

“Kita kena ingat bahawa ini bukan hanya sekadar berniaga, bahkan ini adalah fardhu kifayah untuk umat Islam berbuka puasa.

“Janganlah menganiaya orang ramai hanya kerana mahu mendapat keuntungan dunia,” kata seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Din, di sini.

PaRam adalah tradisi rakyat Malaysia terutamanya kepada umat Islam setiap kali menjelang Ramadan. Pelbagai juadah berbuka puasa dijual di seluruh negara dan sudah menjadi kewajipan bagi orang ramai untuk mengunjunginya.


No comments:

Post a Comment