Friday 27 July 2012

HENTIKAN PEMBUNUHAN KEJAM DI BURMA




KUALA LUMPUR : Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ekmeleddin Ihsanoglu mengutus sepucuk surat kepada Presiden Myanmar Thein Sein untuk menggesa beliau mengambil berat nasib buruk yang menimpa masyarakat Islam Rohingya, sejajar dengan standard hak asasi manusia antarabangsa.

Ihsanoglu meminta presiden itu memberi jaminan tentang keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat Rohingya sebagai warganegara Myanmar dan menghentikan semua bentuk ugutan serta penindasan terhadap mereka.

Pertubuhan 57 negara anggota itu dalam kenyataannya berkata Ihsanoglu juga menggesa Presiden Thein menyiasat kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Islam Rohingya sejak 3 Jun, 2012 dan membawa pelakunya ke muka pengadilan.

Beliau memberi jaminan kepada presiden itu bahawa OIC bersedia bekerjasama dengan Myanmar dalam urusan penghantaran pulang anggota masyarakat minoriti Islam itu ke kampung halaman mereka dan membantu memulihkan suasana aman dan meyakinkan di kawasan terbabit.

Ihsanoglu juga mengutus surat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon dan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB Navi Pillay untuk menggesa mereka menggunakan pengaruh masing-masing dalam mencari penyelesaian segera terhadap isu berkenaan, kata kenyataan itu. (Bernama)

No comments:

Post a Comment