Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
SELEPAS kontroversi
pemasangan bendera BN, kini muncul lagi pelbagai iklan yang mensasarkan
masyarakat Selangor di stesen perhentian dan gerabak sistem kereta api Komuter
di pelbagai tempat di Lembah Klang.
Siri iklan 'Sayangi Selangor'
itu antaranya memaparkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan tulisan
''Kami mendengar masalah anda tentang kos sara hidup'' dan ''Kami mendengar dan
memahami keperluan anda tentang pendidikan''.
Dilihat sebagai sebahagian
daripada rangka 'kempen' BN di negeri Pakatan Rakyat itu, iklan tersebut
kelihatan dipasang di tiang besar di stesen, eskalator malah memenuhi
gerabaknya.
Iklan-iklan itu juga
memaparkan kemesraan Najib yang bergambar dengan pelbagai pihak, termasuk
kanak-kanak dan cuba menekankan bahawa rakyat mendengar masalah rakyat bawahan.
Najib merupakan pengerusi
badan perhubungan Umno Selangor manakala Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad
(KTMB) Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed pula berperanan sebagai koordinator BN
Selangor.
Menurut sumber Malaysiakini,
iklan tersebut telah dipasang secara berjajaran bermula daripada stesen KL
Sentral sehingga ke stesen komuter menghala ke Pelabuhan Klang.
Sementara itu, tinjauan
Malaysiakini terhadap pengguna komuter mendapati rata-rata mereka tidak selesa
dengan langkah terbaru itu.
Seorang pelajar institut
pengajian tinggi awam (IPTA) yang hanya mahu dikenali sebagai Mat berkata,
beliau merasakan iklan itu tidak perlu diletakkan kerana "tidak
seimbang" tanpa memaparkan gambar Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim.
"Inikan kempen Sayangi
Selangor. Sepatutnya ada gambar Khalid baru seimbang. Sebab macam pelik, kempen
sayang Selangor tapi gambar perdana menteri," katanya ketika ditemui
Malaysiakini.
Mat, 22, juga berkata, iklan
yang menyatakan sumbangan kerajaan juga dilihat tidak wajar kerana ia memang
tanggungjawab piak itu.
Selain itu, pelajar institut
pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mahu dikenal sebagai Amirul pula mengaitkan
perkara itu dengan tarikh pilihan raya yang akan berlangsung tidak lama lagi.
"Kalau betul mereka ini
membela rakyat, kenapa baru sekarang nak buat iklan ini? Mungkin kempen nak
dekat pilihan raya umum," katanya sinis.
Sementara itu, Liana, 26,
seorang pekerja swasta pula berkata, iklan sedemikian tidak perlu diletakkan
kerana hampir semua orang tahu apa yang telah kerajaan lakukan.
"Iklan ni dah banyak
dah. dekat TV pun ada. Saya rasa semua orang tahu yang kerajaan ada bagi BR1M
(Bantuan Rakyat 1Malaysia), bagi baucer dekat pelajar dan macam-macam lagi.
Jadi saya rasa tak perlu iklan macam ni. Yang penting ketelusan," katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini
melaporkan bendera BN telah dinaikkan di stesen komuter laluan Kuala
Lumpur-Pelabuhan Klang.
Bagaimanapun, Mohd Zin
Mohamed menafikan mengeluarkan arahan membenarkan bendera BN di pasang di
kesemua 28 stesen komuter di Selangor. (MKINI)
No comments:
Post a Comment