Friday 27 July 2012

ISU PENGAJIAN PELAJAR SABAH AKAN DIBINCANG



ROSAK...Situasi Syria dalam keadaan perang, Bangunan rosak di Homs, 25 Julai, 2012.

SEMPORNA :  Kerajaan negeri Sabah akan membincangkan isu pengajian tiga pelajar negeri itu yang kembali dari Syria dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata masa depan pelajar terbabit harus diberi perhatian memandangkan tidak ada tanda konflik di negara Timur Tengah itu akan berakhir dalam masa terdekat.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan pihak-pihak berkenaan terutama sekali dengan Kementerian  Pengajian Tinggi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa, di sini malam tadi.

“Sekiranya ada tempat bagi pelajar ini melanjutkan pelajaran di dalam negara kita, ini mungkin boleh diambil kira.

“Sekiranya mereka ingin meneruskan pelajaran (di Timur Tengah) kita ada beberapa negara pilihan seperti Mesir dan Jordan. Pelajar Malaysia ramai penuntut  di negara-negara berkenaan.”

Katanya pelajar terbabit iaitu masing-masing seorang dari Tawau, Sandakan dan Keningau, akan tiba dari Kuala Lumpur hari ini dan kos perjalanan mereka dari ibu negara ke Sabah dibiayai Pusat Zakat Sabah sementara dari Syria oleh Kementerian Luar.

Nasir yang juga menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam Sabah, berkata kerajaan negeri Sabah amat berterima kasih kepada kerajaan pusat kerana menguruskan kepulangan pelajar berkenaan sehingga selamat sampai di tanah air. (Bernama)

No comments:

Post a Comment