Monday 23 July 2012

JANGAN GUNA ARTIS UNTUK CERAMAH




Oleh : AMIN ISKANDAR

KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat (PR) harus menyediakan ruang bagi golongan artis yang menyertai mereka untuk berkarya kata Zulkiflee Anwar Haque.

Menurut Zulkiflee lebih dikenali dengan nama panggilan Zunar lagi, seharusnya dengan adanya negeri-negeri yang dikuasai oleh PR seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan, masalah dana dan ruang tidak lagi timbul sepertimana yang dilaluinya ketika mula-mula menyertai perjuangan reformasi pada tahun 1998 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dari kabinet dan Umno.

“Sepatutnya sekarang sudah tak ada masalah sebab PR dah ada empat negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan,” kata Zunar kepada The Malaysian Insider.

“Masalah dana sudah tidak timbul, ruang untuk buat persembahan atau bekarya pun banyak, tak macam dulu waktu 1998.”

Sebelum ini Zunar dalam temuramah bersama The Malaysian Insider membidas golongan artis arus perdana yang menyertai Pakatan Rakyat (PR) tetapi hanya berceramah dan tidak terus berkarya sebagai seniman dan budayawan.

Menurut Zunar, PR perlu menyokong golongan artis yang menyertai mereka untuk bekarya.

“PR kena sokong artis ni bekarya, ceramah kehulu-kehilir tak beri impak besar.

“Kita ada Bob Lokman sebagai penulis lirik, Sham Kamikaze boleh buat lagu dan Aisyah pula boleh menyanyi.

“Kan mantap tu? Rugi kita biarkan bakat artis ini terpendam dengan ceramah setiap malam,” kata Zunar lagi.

Sewaktu mula-mula melukis kartun di Harakah lidah rasmi kepada PAS, Zunar menghadapi pelbagai cabaran seperti menerima teguran dan ada pemimpin-pemimpin PAS yang menghalang beliau untuk terus berkarya.

“Pada ketika itu belum pernah ada kartun dalam Harakah, saya yang mulakannya.

“Ada yang kata pada saya ini (kartun) tak sesuai dengan surat khabar kita (PAS) kerana saya dikatakan menghina ciptaan Allah dan ini merupakah kalimah yang popular pada ketika itu.

“Saya melukis kartun hidung besar Tun Dr. Mahathir, memanglah realitinya bukan begitu kerana saya lukis kartun dan bukan potret,” kata Zunar.

Menurut bekas kartunis majalah Gila-Gila, News Straits Times dan Berita Harian itu lagi, kunci utama untuk golongan artis yang menyertai PR untuk terus berkarya adalah jangan biarkan minda dikongkong oleh parti politik.

“Artis seharusnya tidak boleh dikongkong oleh mana-mana parti politik walaupun menjadi ahli kepada parti tersebut.

“Cuma artis boleh bekerjasama dengan parti politik dalam isu-isu yang sehaluan

“Kehadiran kita (artis) dalam perjuangan ini harus membuka satu dimensi yang lain, itu baru artis.

“Kalau kita juga di pentas politik, apa dimensi atau kelainan yang kita bawa untuk membantu perjuangan ini?” kata kartunis yang dirampas karyanya oleh kerajaan dengan alasan menganggu ketenteraman awam.

Akhir-akhir ini, PAS menerima kemasukkan artis-artis popular seperti Aisyah, Abby Abadi dan Hairie Othman. Sekutu mereka Umno turut disertai artis seperti Jamal Abdillah dan Amy Search. (TMI)

No comments:

Post a Comment