HULU LANGAT : Datuk Seri
Najib Tun Razak tidak mahu gagasan 1Malaysia tinggal sebagai slogan atau
retorik politik semata-mata, sebaliknya mahu ia diterjemahkan kepada sesuatu
yang boleh dikecapi dan dinikmati oleh rakyat.
Perdana Menteri berkata
dalam merealisasikan usaha itu, lebih banyak perkhidmatan dan produk
bersandarkan 1Malaysia perlu diperkenalkan bagi membantu meringan beban kehidupan
yang dihadapi rakyat pada masa kini.
"Apabila diperkenalkan
perkhidmatan dan produk 1Malaysia, senarainya tiada 'noktah' cuma ada 'koma'
tiada akhir. Namun, kita tidak sewenang-wenangnya membenarkan 'branding'
1Malaysia ini digunakan.
"Ramai yang memohon,
ada yang saya setuju, ada saya tidak setuju. Apa yang penting perkhidmatan dan
produk 1Malaysia mampu membantu rakyat," katanya ketika berucap merasmikan
Kedai Kain Rakyat 1 Malaysia (KKR1M) di sini, hari ini.
Turut hadir pada perasmian
kedai itu di No 1, Jalan Lagenda Suria, Taman Lagenda Suria di sini ialah
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar.
Pada 8 Julai lepas, semasa
berucap di program Janji Ditepati di Bandar Baru Bangi, Najib mengumumkan
penubuhan kedai itu sebagai satu daripada inisiatif kerajaan Barisan Nasional
(BN) dalam membantu meringankan beban rakyat.
Najib berkata pengenalan
Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) juga mendapat sambutan menggalakkan apabila
berjaya mencatat penjualan memberangsangkan.
Selain itu, Najb yang juga
Menteri Kewangan, berkata perkhidmatan 1Malaysia sememangnya membantu
meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah ialah Klinik
Rakyat 1Malaysia kerana menawarkan perkhidmatan yang murah dan berkualiti.
"Kalau pergi ke klinik
swasta sekurang-kurang perlukan RM30, itu belum termasuk tambang teksi atau
bas. Tapi kalau pergi Klinik 1Malaysia hanya bayar RM1 dan akan dapat
perkhidmatan kesihatan.
"Kita juga ada Menu
Rakyat 1Malaysia dengan bayaran sarapan pagi RM2 dan dengan RM4 untuk makan
tengah hari kita dapat sajian yang lazat serta cukup zat dan nutrisi,"
katanya.
Selain itu, kerajaan juga
mempunyai program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk meningkatkan akses
golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah serta Program Teksi Rakyat
1Malaysia (TR1MA) yang antara lain bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan
pengangkutan awam negara.
Najib berkata KKR1M menjual
pelbagai jenis kain dan pakaian yang berkualiti tinggi dengan harga yang lebih
murah daripada harga pasaran.
"Saya sahkan, terbukti
harga pakaian dan kain (di KKR1M) jauh lebih murah daripada harga pasaran.
Kementerian (Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) ambil masa
semak harga semua produk," katanya.
Beliau berkata antaranya
kain batik jacquard yang dijual dengan harga RM15 berbanding RM35 sepasang di
pasaran, baju kemeja linen sehelai RM45 berbanding RM79 di pasaran serta kain
satin RM40 sepasang berbanding RM50 di pasaran.
Selain keperluan pakaian,
kedai itu turut menawarkan barangan lain seperti langsir, kelengkapan sekolah
dan kelengkapan bersolat seperti sejadah dan songkok.
Najib berkata 30 lagi KKR1M
akan dibuka seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini. (Bernama)
No comments:
Post a Comment