RISIKAN Cawangan Khas, Polis
Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa terdapat pengganas Jemaah Islamiah
(JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha
meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon dalam pilihan raya
umum akan datang.
Ketua Penolong Pengarah E2
(M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md
Makinuddin berkata Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi
PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.
"Beberapa pemimpin
Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga sering
berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan
pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana.
"Kesannya, idea-idea
berhubung politik baru yang berpotensi menjejaskan nilai teras negara telah
berkembang. Gerakan ini sebenarnya mendapat sokongan daripada badan bukan
kerajaan (NGO) asing yang membantu dari segi kewangan, latihan dalam dan luar
negara serta pendedahan kepada kepakaran tertentu untuk menghadapi pilihan
raya," katanya.
Beliau berkata demikian
semasa menyampaikan syarahannya bertajuk "Keselamatan Negara Tanggungjawab
Bersama" pada Konvensyen Pemimpin Muda Negara di Parlimen hari ini.
Konvensyen sehari itu
dianjurkan oleh Parlimen Malaysia bersama-sama Biro Tatanegara Jabatan Perdana
Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru dan Majlis
Belia Malaysia, di bangunan Parlimen.
Mohd Sofian berkata tindakan
gerakan itu sebenarnya bertujuan untuk melahirkan badan bukan kerajaan (NGO)
tempatan yang sentiasa bersikap bermusuhan terhadap kerajaan sekaligus
bermatlamat mewujudkan suasana kucar-kacir sehingga melemahkan sesiapa sahaja
yang memerintah negara.
"Dalam hal ini, kita
bimbang tindakan parti pembangkang dan NGO memainkan isu kontroversi yang
membakar sentimen rakyat agar membenci kerajaan menjelang pilihan raya.
"Ataupun (ia)
meningkatkan aktiviti demonstrasi dan juga insiden yang boleh mengalihkan
tumpuan pihak polis... gerakan massa mengheret rakyat turun ke jalanan
melakukan demonstrasi akan terus menjadi trend di negara kita," katanya.
Beliau berkata perhimpunan
Bersih, Oren dan Hijau, yang dianjurkan pihak yang disokong pembangkang,
baru-baru ini merupakan rancangan yang diatur khas sehingga pilihan raya umum
akan datang.
"Tambahan pula budaya
kempen sepanjang tahun yang diamalkan di negara ini menyebabkan fikiran rakyat
terus terdedah dengan pelbagai maklumat yang mempunyai nilai
politik,"katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment