Thursday 19 July 2012

JOHN TEO DICABAR LETAK JAWATAN



MENYEDIHKAN...Kanda memerhatikan keadaan jalan raya di kampungnya yang tidak pernah dibaiki dalam tempoh 25 tahun lalu.

Oleh : KREW SABAHKINI.NET

BOSAN dengan sikap ketidakprihatian wakil rakyat mereka, warga Kuala Penyu mencabar John Teo Mau Sing meletak jawatan sebagai Adun dan membiarkan kerusi itu kosong sehingga pilihan raya umum ke-13 diadakan.

Beliau bukan sahaja tidak turun padang untuk meninjau masalah yang dihadapi rakyat di kampung-kampung, malah Adun tersebut juga tiada mempunyai rasa prihatin dan simpati terhadap kesulitan yang mereka alami selama ini.

Penduduk di Kampung Gana-Kabunyit, Melampai umpamanya telah menyuarakan mengenai kerosakan jalan raya laluan utama mereka ke jalan raya utama namun langsung tiada reaksi daripada wakil rakyat atau pegawai-pegawainya.

Pemimpin masyarakat yang juga Ahli Jawatankuasa Upko Bahagian Beaufort, Kanda Juri dalam satu kenyataan media baru-baru ini mendakwa wakil rakyat mereka telah gagal memberi reaksi terhadap masalah keadaan jalan raya di kampung mereka yang telah berkali-kali disampaikan kepada beliau.

Katanya, jalan raya yang menjadi perhubungan utama penduduk kampung berkenaan tidak pernah dibaiki dalam tempoh 25 tahun lalu menjadikan keadaan jalan raya tersebut semakin teruk dan kerosakannnya telah menyusahkan penduduk yang terlibat.

"Kami tidak faham kenapa John Teo langsung tidak ambil peduli masalah jalan kami yang beberapa kali sudah dikemukakan kepada beliau, sama ada melalui saluran JKKK atau permohonan terus disampaikan kepada beliau sendiri," kata Kanda yang kecewa dengan sikap wakil rakyat berkenaan.

Beliau memberitahu penduduk kampung sudah hilang sabar namun wakil rakyat berkenaan tidak memahami perasaan mereka dan langsung tiada insiatif untuk menyelesaikan keadaan jalan raya itu.

"Jika permintaan penduduk kampung langsung tidak dipedulikan, mungkin lebih baik beliau meletak jawatan sahaja dan membiarkan kerusi DUN Kuala Penyu kosong buat sementara sampai pilihan raya umum nanti," tegasnya.

Pengundi di Kuala Penyu, tambahnya, sangat kecewa dengan sikap wakil rakyat itu dan ia telah menjejaskan imej Barisan Nasional yang sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat, ujar beliau.

Kanda berharap BN tidak mengulangi cara pemilihan calon yang dibencikan rakyat seperti ini semata-mata untuk memenuhi kepentingan individu tertentu sahaja kerana akan menyebabkan BN akan bakal kehilangan kerusi yang sepatutnya boleh dimenangi.

Pucuk pimpinan BN Pusat dan Negeri terutama Perdana Menteri dan Ketua Menteri wajar memberi perhatian serius dengan keadaan politik di Parlimen Beaufort dan DUN Kuala Penyu kerana rakyat di kawasan berkenaan sudah bijak untuk membuat pemimpin pilihan atas sebab sejarah pahit yang dilalui.

"Kita berharap soal pemilihan calon diberi keutamaan kerana kerusi di kawasan ini bergantung dengan faktor calon kerana rakyat pengundi sudah terlalu bosan dengan pemilihan calon oleh pihak atasan yang tidak mampu memenuhi kehendak mereka tetapi secara terpaksa sahaja mengundi. Namun PRU-13 adalah paling dasyat dan rakyat tahu siapa akan pilih," tegasnya.


No comments:

Post a Comment