Friday 20 July 2012

KAKITANGAN LEMBAP PUNCA KEMALANGAN




Saudara Pengarang,

TARIF baru kesalahan trafik sangat membebankan rakyat Malaysia. Tarif minimum saman adalah RM300 bagi kesalahan nombor pendaftaran, lesen memandu tidak sah, melepasi had laju, permit tamat tempoh dan tiada pemeriksaan Puspakom, mengimport kereta haram dan melanggar arahan polis trafik. Manakala denda maksima boleh mencapai sehingga RM5,000.

Sebagai rakyat Malaysia berkeinginan untuk membeli kenderaan sendiri yang murah termasuk menanggung kos penjagaan kenderaan, mereka seharusnya mempunyai pendapatan minimum bulanan sebanyak RM1,200.

Dengan pendapatan sebanyak ini jika berlaku sebarang masalah yang melibatkan keperluan kewangan maka sempatlah hidup seseorang itu untuk beberapa bulan. Jika tanpa sengaja melakukan kesalahan lalulintas yang tersebut di atas, bererti si pemandu akan makan ‘Pasir' pada bulan tersebut. Jangan cakaplah kalau dikenakan denda maksimum, boleh muflis dengan serta merta.

Kalau saman kenderaan RM50 seperti dahulu, rakyat masih boleh membayar saman walaupun merungut pada masa yang sama. Tetapi banyak pesalah jalan raya lebih rela ‘memberi’ bayaran di lapangan bagi mengelakkan pembayaran saman minimum di Balai Polis yang kadangkala akan dikenakan bayaran melebihi dari RM50 dan pada masa yang sama menjimatkan masa terutama bagi pemandu yang bergantung sepenuh atau secara tidak langsung bergantung pendapatan dari memandu kenderaan.

Saya yakin di Sabah pesalah jalan raya yang benar-benar membayar bagi kesalahan lalu lintas hanya bagi pesalah yang mengunakan kenderaan persendirian sahaja, manakala kenderan perdagangan kebanyakannya membayar ‘Saman’ di lapangan sahaja.

Tidak mustahil pendapatan negara dari pesalah lalu lintas tidak mencapai separuh pun dari jumlah sebenarnya yang melakukan kesalahan lalu lintas kerana ketirisan ini berlaku di peringkat lapangan lagi.

Cuba bayangkan bila saman yang perlu dibayar sebanyak RM300, saya yakin semakin ramai rakyat Malaysia akan lebih rela membayar ‘Saman’ di lapangan. Tujuan asal kerajaan untuk mengurangkan kemalangan dan menambahkan pendapatan negara tidak akan tercapai tetapi yang pasti berlaku pemungut ‘Saman’ di lapangan akan lebih kaya dan lebih aktif lagi.

Sekali lagi kerajaan secara langsung dan tidak langsung telah berjaya membebankan rakyat dan seterusnya menaikkan indeks rasuah negara.

Kemalangan yang berlaku di negara ini harus dikaji dengan terperinci. Jika menteri dan kakitangan yang terlibat terlalu 'lembab' untuk berfikir untuk mengurangkan bilangan kemalangan di negara ini, lantik sahaja perunding yang berpengalaman untuk menjalankan kajian mengenai isu tersebut.

Mereka ini saya katakan 'LEMBAP' kerana apa yang berlaku di Kota Kinabalu, ‘round about’ Sepanggar, Melawa. Kemalangan telah beratus kali sudah berlaku di ‘round about’ ini sehingga pembahagi jalan ke bulatan ini hancur kerana dilanggar terlalu kerap.

Perkara ini banyak merugikan harta benda rakyat malah kecederaan dan juga mengakibatkan kehilangan jiwa berlaku. Kalau kita lihat reka bentuk ‘round about’ ini, ia terletak di bawah paras jalan raya.

Akibatnya apabila kita lihat dari jarak 500 meter dari kawasan ‘round about’ tersebut. Pemandu yang baru di kawasan ini tidak akan sedar adanya ‘round about’ di hadapan mereka sehinggalah menghampiri lebih kurang 100 meter barulah ‘round about’ itu kelihatan.

Kelajuan bukan punca utama berlakunya kemalangan, kerana di Amerika dan Timur Tengah pemandu boleh memandu sehingga mencapai 120 km/jam dan kelajuan ini adalah perkara biasa, tetapi keadaan jalan yang sangat baik dan kebanyakan kereta berkuasa tinggi dapat mengurangkan kemalangan berlaku.

Lebuhraya yang dibina semacam diilhamkan dari jurutera yang tidak pernah ke universiti, sudahlah selekohnya tajam dan malah permukaan jalan pun tidak rata. Tidak perlu berlajar tinggi sangat, secara logik kalau selekoh, buatlah jalan tu condong sikit ke arah selekoh.

Kedengaran kemalangan maut di negara berlaku kebanyakan berlaku semasa memotong kenderaan lain. Ini sangat jelas masa yang diperlukan untuk memotong terlalu lama dan mengakibatkan kereta bertembung atau terbabas.

Jika kereta ini mempunyai kuasa tinggi masa yang diambil untuk memotong adalah lebih pendek dan ini boleh mengelakkan kereta boleh bertembung dengan kereta lain.

Kelemahan penguatkuasa juga penyumbang besar kepada kenderaan yang tidak sesuai atau mencapai standard minimum untuk digunakan di jalan raya. Pemeriksaan Puspakom sangat ‘menghairankan’, pemilik yang membawa sendiri kenderaan perdagangan, susah mahu lulus tetapi apabila diserahkan kepada ‘runner’ pasti boleh lulus.

Perancang Bandar juga tidak dibuat dengan teratur. Banyak bangunan tidak mempunyai bilangan letak kereta yang mencukupi dan ini secara tidak langsung memaksa pengguna meletakkan kereta mana-mana sahaja asalkan ‘muat’ dan ini juga boleh melibatkan kemalangan.

Jika kerajaan ingin kurangkan kemalangan dan menambahkan pendapatan negara, langkah-langkah berikut harus diambil kira:
1. Menaikkan gaji Polis, JPJ, Puspakom dan JKR untuk memberi motivasi kepada mereka bahawa pekerjaan mereka adalah periuk nasi mereka. Ini akan mengurangkan penerimaan wang rasuah kerana gaji mereka sudah cukup untuk hidup dalam keadaan terjamin dibandingkan jumlah rasuah yang diterima.

2. Pihak yang telibat harus terlatih dan berpelajaran, bukannya jenis kelas LEMBAP.

3. Menurunkan cukai import kenderaan dan alat ganti. Secara tidak langsung menurunkan harga kereta dan alat ganti dan secara langsung pengguna akan memilih kereta yang baru dan berjenama baik, berkuasa tinggi dan menggunakan alat ganti yang tulen dan bermutu tinggi. Kereta dan alat ganti yang bermutu tinggi akan membantu mengurangkan kegagalan fungsi-fungsi utama kereta dan ini boleh mengelakkan kemalangan berlaku.

4. Tarif keselahan trafik dikurangkan dan pada yang sama denda dalam bentuk teladan (berkhidmat dengan masyarakat) dilaksanakan. Harga saman yang rendah akan mengalakkan orang ramai membayar denda dari membayar ‘Saman’ di lapangan. Denda dalam bentuk teladan juga penting bagi pesalah lalu lintas terutama bagi golongan berada yang tidak ada masalah membayar berapa nilai sekali pun denda yang dikenakan.

Reformasi terhadap perkhidmatan awan perlu bagi mengatasi ‘Penyakit Lembab’ semakin menular dan menyusahkan rakyat.
Salam Hormat,

NOOR HALIM DATUK HAJI ZAINI

No comments:

Post a Comment