Friday 6 July 2012

KASIH DISANJUNG, BUDI TIDAK DILUPA




TERIMA KASIH…...Wakil SK St Mary Convent menerima peralatan berupa 2HP Panasonic yang disampaikan oleh Liew.

Oleh : SHAIMON S JUMADI          Foto : SAFFIE S JUMADI

KEBEBASAN beragama yang diamalkan di negara ini menjadikan Malaysia aman dan damai jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Bagaimanapun, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat oleh semua lapisan masyarakat terus memainkan peranannya membantu rakyat dalam pelbagai aspek untuk dinikmati semua rakyat yang berbilang kaum tanpa mengira ideologi politik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Peralatan Pejabat berupa 2 unit 1 HP Penghawa Dingin Panasonic kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Sandakan di sini, kelmarin.

Turut menerima sumbangan seumpama itu ialah SMK Konven St Cecilia School Management Board dan SK St Mary’s Convent Sandakan dan TADIKA Kasih Sayang Dorkas menerima bantuan beg 15 sekolah dan seunit Epson Projector With Screen.

Liew berkata, dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan mana-mana pihak untuk menikmati dan mendapatkan pelbagai kemudahan yang disalurkan oleh kerajaan kerana sudah menjadi hasrat dan tanggungjawab para pemimpin membantu setiap golongan yang memerlukan.

"Kasih rakyat kita sanjung, budi mereka mengundi BN tidak akan dilupa," kata Liew dalam seuntai madah.

Sesiapapun tidak dapat menafikan, tegas Liew, bahawa sejak kebelakangan ini kerajaan banyak menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat jelata di setiap pelusuk di negara ini; antaranya BR1M, Bantuan Sentuhan Kasih, Bantuan 1 Azam, Bantuan E Kasih dan bantuan Subsidi 4 biji tayar dan pembelian insurans percuma kepada pemandu-pemandu teksi.

 

KENANGAN…Liew bergambar dengan murid-murid TADIKA Kasih Sayang Dorkas.

"Semuanya ini untuk keperluan rakyat tidak kira mereka itu anti kerajaan atau sebaliknya; sama-sama berhak dan saksama mendapat kemudahan,” tegasnya.

Liew sedih kerana walaupun kerajaan BN membuat pelbagai kebaikan untuk rakyat, namun ada sahaja yang tidak kena dengan pihak pembangkang yang sering menafikan segala usaha kerajaan dan terus menabur pelbagai tohmahan liar yang tidak berasas terhadap para pemimpin BN.

"Saya berharap agar rakyat di Sandakan tidak mudah digula-gulakan oleh pihak pembangkang. Bukalah mata besar-besar dan pandailah menilai mana satu parti yang boleh membantu rakyat dan memajukan negara. Pembangkang hanya tahu bercakap banyak,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment