Tuesday 24 July 2012

KEBAKARAN SIRNA HARAPAN ENAM KELUARGA




HANGUS.....Sisa-sisa kebakaran rumah membabitkan enam keluarga di Kampung Lupak Meluas Darat, awal pagi kelmarin.

SANDAKAN: Enam keluarga membabitkan 53 orang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Lupak Meluas Darat di Karamunting di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi kelmarin.

Salah seorang ketua keluarga, Seguin Nasrah, 59, ketika ditemui berkata kebakaran itu dipercayai bermula selepas mereka selesai bersahur.

“Selepas makan sahur, saya dan keluarga yang masih berjaga pada ketika itu dikejutkan dengan api kebakaran dari rumah jiran.

“Api merebak dengan begitu cepat berikutan kedudukan rumah yang sangat dekat. Dari apa yang kami dengar, api berpunca daripada kecuaian jiran yang tidak mematikan dapur gas,” katanya.

Meskipun rumahnya musnah keseluruhan, namun Seguin bersyukur kerana berjaya menyelamatkan dokumen penting selain kesemua lapan ahli keluarganya selamat.

Katanya, kesemua keluarga mangsa kebakaran kini menumpang di rumah keluarga dan jiran untuk sementara waktu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin ketika dihubungi berkata 10 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 5.22 pagi.

Bagaimanapun, ketika tiba kira-kira 20 minit kemudian, enam buah rumah setinggan yang terlibat telah musnah keseluruhan dan pihaknya hanya memadam sisa api yang tertinggal. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Wakil Rakyat Sekong, Datuk Samsudin Yahya ketika melawat tempat kejadian berkata, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan disalurkan secara berperingkat bermula kelmarin bagi meringankan beban mangsa.

Ia meliputi bantuan makanan bermasak selama tiga hari bermula kelmarin selain makanan mentah selama seminggu serta alat binaan rumah yang akan disalurkan pada Isnin.

Selain itu, bantuan kewangan daripada Pejabat DUN Sekong akan disalurkan kepada keluarga mangsa terlibat juga pada Isnin.

Beliau turut meminta pihak kerajaan agar dapat menyediakan kawasan perumahan yang lebih teratur kepada penduduk di kawasan Sekong, yang pada ketika ini ramai yang tinggal di kawasan setinggan.

Katanya, kawasan rumah setinggan dibina agak rapat antara satu sama lain dan keadaan ini menjadi sukar apabila berlaku kejadian kebakaran.

Selain itu, Samsudin meminta pihak bomba dan penyelamat untuk memastikan pili bomba yang ada di sesebuah kawasan berfungsi sepenuhnya.

“Saya mendapat aduan daripada penduduk di sini bahawa pili bomba tidak boleh digunakan. Ia menyukarkan penduduk serta bomba sukarelawan yang datang lebih awal. Mereka tidak dapat memadam kebakaran berikutan tiada punca air,” katanya. (UB)


6 comments:

  1. nasib mangsa kebakaran harus dibela, bantuan harus diberikan pada mereka.

    ReplyDelete
  2. Memang bahaya kalau rumah yang dibina sederet atau tidak berjarak.

    ReplyDelete
  3. Masa2 bulan puasa dan menjelang perayaan ni harap2 penduduk akan lebih berhati2 dan berwaspada.

    ReplyDelete
    Replies
    1. DIharap orang ramai akan lebih berhati-hati lagi.

      Delete
  4. Bantuan perlu disalurkan kepada mereka

    ReplyDelete
  5. Semoga bantuan akan diberikan kepada mereka yang terlibat dalam kebakaran ini.

    ReplyDelete