Friday 20 July 2012

KEBOCORAN PAIP PUNCA GANGGUAN AIR




BOCOR....Samsul (kiri bersongkok putih) menunjukkan kawasan yang telah dikenalpasti berlaku kebocoran selepas pihaknya mengadakan pemeriksaan saluran paip secara menyeluruh di sekitar bandar Lahad Datu.

LAHAD DATU: Jabatan Air Daerah Lahad Datu telah mengenalpasti kebocoran sebesar 4 inci yang dikesan pada paip bersaiz 450mm di jalan Pantai merupakan antara punca kepada berlakunya masalah gangguan bekalan air di sekitar kawasan bandar Lahad Datu sejak kebelakangan ini.

Jurutera Air Bahagian, Samsul Bahiry Marullah berkata kebocoran yang berlaku pada paip itu berjaya dikesan kelmarin selepas pihaknya mengadakan pemeriksaan saluran paip secara menyeluruh di sekitar bandar Lahad Datu.

“Kebocoran pada paip itu telah menyebabkan Jabatan Air Lahad Datu kehilangan kira-kira dua juta liter bekalan air bersih sehari dan ini sekali gus menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air serta kehilangan Air Tak Berhasil (NRW) yang tinggi di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat dan melakukan pemantauan ke kawasan lokasi paip bocor itu di Jalan Pantai, bandar Lahad Datu, yang turut disertai oleh Penolong Pegawai Daerah Lahad Datu (Pentadbiran), Juraimin Jadil dan Penolong Jurutera Jabatan Air Lahad Datu, Ardianshah Mat Salleh.

Tambah Samsul, kebocoran itu dikesan susulan aduan yang diterima daripada orang awam mengenai masalah gangguan bekalan air yang berlaku di kawasan itu sejak kebelakangan ini.

“Hasil siasatan awal pihak kita tidak menolak kemungkinan kebocoran paip telah berlaku sejak dua tahun lalu semasa kerja-kerja mengorek dilakukan di bawah tanah oleh pihak-pihak tertentu,” katanya sambil menambah kebocoran pada paip itu turut menyebabkan berlakunya masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan sekitarnya.

Dalam pada itu, Samsul berkata pihaknya akan membuat pemantauan berterusan dan mengambil tindakan segera untuk membaiki kebocoran pada paip berkenaan dan berharap masalah itu dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Tambahnya, Jabatan Air Daerah Lahad Datu juga merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perbuatan mencuri air atau mengesan ada berlakunya kejadian paip bocor agar membuat aduan dengan menghubungi jabatannya di talian 089-881767 bagi memudahkan tindakan segera diambil. (UB)

6 comments:

  1. masalah kebocoran paip ini harus diselesaikan segera.

    ReplyDelete
  2. cepat dikesan, cepatlah diperbaiki.harap masalah air yang dihadapi penduduk akan berakhir.

    ReplyDelete
  3. Baguslah jika sudah dapat mengesan punca kenapa masalah air berlaku.

    ReplyDelete
  4. Perbaiki masalah yang dihadapi ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jabatan air perlu segera selesaikan masalah tu

      Delete
  5. Jabatan air perlu lebih peka dalam hal ni.

    ReplyDelete