Friday 27 July 2012

KEDUTAAN PUJUK 8 PELAJAR DI SYRIA SUPAYA PULANG




KEDUTAAN Malaysia di Syria akan terus memujuk lapan pelajar Malaysia di Syria  yang enggan pulang ke tanah air dari di negara Timur Tengah itu yang dilanda pergolakan yang semakin meruncing.

"Pihak kedutaan akan terus memujuk mereka kerana tiada siapa dapat menjamin keselamatan mereka dalam situasi sebegini," kata Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot ketika menyambut ketibaan sekumpulan tujuh penuntut Malaysia di Syria, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Mereka tiba jam 4.25 petang dengan penerbangan Emirates. Mereka merupakan kumpulan pertama pelajar Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air berikutan konflik yang tercetus di negara Timur Tengah itu.

"Setakat ini yang paling penting semua rakyat Malaysia selamat dan tiada yang tercedera di negara itu," tambahnya.

Dalam pada itu, beberapa pelajar Malaysia yang tiba semalam bersyukur kerana dapat meninggalkan Syria, sambil berterima kasih kepada kerajaan atas usaha tersebut.
   
Muhammad Hasan Hilmi Hassan Shukri, 21, yang berasal dari Bangi, berkata keadaan semakin meruncing sejak minggu lalu dengan kejadian tembakan tidak jauh dari kediamannya yang menyebabkan beliau tidak berani keluar rumah.
   
"Alhamdulillah saya bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke Malaysia. Saya mewakili enam pelajar lain mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Wisma Putra, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kedutaan Malaysia di Syria atas usaha membawa kami keluar," katanya kepada pemberita.
   
Bagi Muhammad Afifuddin Md Tahir, 23, beliau lega kerana dapat pulang ke tanah air walaupun pada mulanya enggan berbuat demikian kerana bersemangat untuk meneruskan pengajian di sana.
   
Pelajar tahun pertama sebuah kolej syariah itu bagaimanapun berkata setelah kejadian tembak-menembak berlaku tidak jauh dari kediamannya, pulang ke tanah air dianggap pilihan terbaik.
    
Menceritakan pengalamannya, Muhammad Afifuddin berkata walaupun tidak mempunyai masalah bekalan makanan, banyak kedai ditutup dan penduduk juga diminta meninggalkan masjid sebaik selesai menunaikan solat.
  
"Kalau sebelum ini kami biasa membaca Al-Quran selepas solat, namun kami tidak lagi dibenarkan berbuat demikian. Malah solat Terawih juga dipendekkan daripada 20 ke lapan rakaat," katanya.
    
Mohd Luqman Saidin, 23, pula berkata beliau dapat melihat cahaya daripada bedilan roket dan senjata api pada waktu malam daripada kediamannya.

"Ketika itu saya hanya mampu berdoa agar semuanya selamat," kata pelajar itu yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah. (Bernama)

No comments:

Post a Comment