Monday 9 July 2012

KEMBAR 3K UNTUK MANFAAT RAKYAT




BANDAR BARU BANGI : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenengahkan tiga perkara yang dirujuk beliau sebagai '3K Berkembar' yang dijanjikan kerajaan buat rakyat iaitu keamanan dan keselamatan; kestabilan dan keharmonian; serta kemakmuran dan kemajuan.

Beliau berkata dari aspek keamanan dan keselamatan, andainya ketinggian perlembagaan dan keluhuran undang-undang tidak dihormati, tiada apa yang boleh menjadi kenyataan dalam negara.

Beliau memberi contoh demonstrasi jalanan yang diadakan di tengah ibu kota April lepas yang menurutnya tidak menguntungkan sesiapa, kecuali membawa keadaan kucar-kacir dan huru-hara.

"Kita mesti hormati ketinggian perlembagaan dan keluhuran undang-undang kerana ini tonggak kepada negara kita," katanya semasa berucap di program Janji Ditepati di Teras Jernang di sini Ahad.

Dalam aspek kestabilan dan keharmonian pula, Najib berkata keadilan sosial dan keharmonian negara yang ditampilkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi pelbagai inisiatif, termasuk gagasan 1Malaysia yang ditampilkannya, manyaksikan keadaan yang lebih stabil dan kukuh, semuanya disebabkan oleh kesepakatan dalam BN.

Beliau berkata ia berbeza dengan pakatan parti pembangkang yang nampak sepakat pada luarannya sahaja, namun hakikatnya ia sedang berhadapan dengan banyak masalah dalaman.

"Di Selangor kita dengar ada dua kem besar sudah bergaduh, tapi cuba ditutup, (selain itu) banyak isu-isu berkaitan moral pemimpin (pembangkang) yang tidak dapat dijawab mereka," katanya.

Perdana Menteri turut mengkritik kerajaan PAS di Kelantan yang dilihatnya tidak mempunyai kemampuan mentadbir dan hilang punca apabila parti itu pada mulanya memperjuang konsep negara Islam, kemudian bertukar kepada negara kebajikan, dan kini menimbulkan soal hukum hudud pula, semasa negeri Kelantan berhadapan pelbagai masalah.

"Segalanya nak dihijaukan. Rumah, masjid, pagar, semua nak dihijaukan. Janganlah hanya nak bawa perubahan dari segi warna sahaja, mesti ada agenda untuk sejahterakan rakyat, ini bezanya dengan BN," katanya.

Menurut Najib, Kembar K ketiga yang merujuk kepada kemakmuran dan kemajuan pula menyaksikan banyak kemakmuran dan kemajuan yang diusahakan kerajaan mencapai kejayaan besar, semuanya untuk rakyat.

Menurutnya semasa pasaran modal di dunia ketika ini berada dalam keadaan 'gersang', keadaan pasaran modal dalam negara sebaliknya begitu segar dan dinamik, semuanya disebabkan perancangan rapi kerajaan untuk membangunkan negara.

Najib berkata semua yang diketengahkannya bukan sahaja merujuk kepada kejayaan kerajaan menepati segala yang dijanjikan, malah turut menjamin masa depan yang lebih baik lagi.

Beliau memberi contoh pendidikan percuma yang disediakan kerajaan, Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia, baucar buku, tayar percuma untuk pemandu teksi, dan banyak lagi.

"Kalau saya nak sebut satu persatu jasa BN, mungkin sampai malam nanti saya masih di sini. Mungkin dulu kita buat silap sikit semasa pilihan raya lalu, tapi kita sudah pelajari daripada kesilapan itu dan kita akan buat yang terbaik untuk masa depan," katanya.

Beliau seterusnya mendedahkan bahawa banyak lagi yang sedang dirancang tidak lama lagi, antaranya Kedai Buku 1Malaysia, yang akan menawarkan buku dan alat tulis pada harga yang lebih rendah, dan juga Kedai Kain 1Malaysia.

"Kita (juga) akan buat kedai kain 1Malaysia. Kain pun boleh beri murah lagi untuk suri rumah. Boleh beli lebih murah daripada biasa," katanya.

"Ini baru dua, banyak lagi akan dibuat. Berilah peluang kerana kita telah buktikan bahawa kita boleh tentukan keamanan dan keselamatan, boleh jamin kestabilan dan keharmonian, dan menjanjikan kemakmuran serta kemajuan," tambahnya.

Perdana Menteri kemudiannya melawat sekitar khemah pelbagai jabatan serta agensi kerajaan, dan juga swasta yang mengambil bahagian dalam program Janji Ditepati. (Bernama)

No comments:

Post a Comment