Oleh : MOHD FARHAN DARWIS
SHAH ALAM : Menteri Besar
Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini membidas Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun, sebagai 'Wakil Rakyat Kedai Kopi'
apabila mengaitkan kejadian bencana alam di Selangor dengan aktiviti kecurian
pasir.
Khalid dalam perbahasan
lisan di Dewan Undangan Negeri hari ini membidas kenyataan Wong dengan menegaskan
kejadian tanah runtuh di negeri itu tidak melibatkan kegiatan kecurian pasir
dan Wong jelasnya menggunakan logik yang rendah dalam membuat perbandingan
berhubung perkara itu.
“Logik yang digunakan agak
rendah iaitu kononnya dengan kecurian pasir jambatan akan runtuh, ini
cakap-cakap di kedai kopi,” tegas Adun Ijok ini lagi.
“Kita gunakan kajian
daripada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), mereka telah mengatakan faktor
kecurian pasir tidak menyumbang kepada kejadian tanah runtuh.”
Wong sebelum itu
mempersoalkan berkenaan ketiadaan pendedahan mengenai jumlah tangkapan yang
dibuat berkaitan skandal pasir di Selangor walaupun kerajaan negeri mengumumkan
jumlah tangkapan berhubung jenayah itu menunjukkan penurunan sejak 2008.
“Kalau kerajaan negeri
betul-betul efisyen, siapa tahu individu atau kumpulan mana yang ditangkap
serta apa hukumannya?
“Skandal kecurian pasir ini
mendatangkan masalah sampingan, sebelum 2008 tiada jambatan runtuh atau tebing
sungai runtuh,” katanya dan menambah, “sekarang kerap media melaporkan
kejadian-kejadian seperti ini.”
Khalid bagaimanapun dilihat
cuba berdolak-dalik ketika menjelaskan mengenai keberkesanan operasi pemantauan
dan pencegahan sindiket kecurian pasir di negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR)
itu.
Malah, Khalid juga tidak
menjawab soalan Wong mengenai jumlah tangkapan yang sudah dibuat sejak skandal
mencuri pasir di Selangor didedahkan selepas 2008.
Sebelum itu, dalam sesi soal
jawab lisan menerangkan bahawa trend tangkapan jenayah kecurian pasir telah
menurun sejak PR mengambil alih kerajaan Selangor.
“Trendnya sudah menurun.
Pada 2008 sebanyak 974 tangkapan, 159 (2009), 91 (2010), 37 (2011) dan hanya 26
tangkapan dibuat sehingga Jun 2012.
“Operasi perampasan juga
sudah berkurang, kutipan juga berkurang. Berdasarkan fahaman kita sudah
tentulah operasi pencurian pasir berkurang,” katanya lagi.
Beliau turut menerangkan,
ekoran kejayaan itu, bukan sahaja pendapatan operasi pasir telah meningkat,
tetapi juga jumlah royalti yang dibayar.
Jelas Khalid lagi, jumlah
besar royalti yang dibayar juga meningkat kepada RM5 juta dalam tempoh enam
bulan sejak 2008, berbanding tidak lebih RM3 juta sebelum itu.
“Bukan sahaja kecurian
berkurang, tapi royalti negeri juga bertambah,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment