PUTRAJAYA : Bidang
pendidikan negara perlu memberi perhatian kepada usaha membangunkan modal
intelektual dalam negara, yang secara khususnya merujuk kepada usaha
melengkapkan generasi masa depan dengan kemampuan berfikir di peringkat tertinggi
iaitu tajam, mendalam, kreatif dan inovatif.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak berkata ini penting kerana negara berhasrat melahirkan
anak-anak bangsa bukan hanya untuk menikmati kemajuan hari ini semata-mata,
tetapi untuk masa depan negara yang lebih gemilang.
Beliau berkata di masa
hadapan generasi ini terpaksa mengisi pekerjaan yang mungkin masih belum wujud
pada hari ini, dan cabaran yang dihadapi negara dalam soal ini ialah usaha
mencari jalan bagaimana cara untuk menyediakan mereka dalam menghadapinya.
"Bagaimana nak sediakan
mereka untuk pekerjaan yang belum wujud; jawapannya tak boleh sebab kita tidak
tahu jenis pekerjaan yang belum wujud, cuma kita boleh sediakan mereka dari
segi kemampuan berfikir... higher order of thinking skill ini," katanya
semasa berucap di Majlis Perhimpunan Perdana Guru Cemerlang 2012 di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
"Ini supaya mereka
boleh fikir bukan sahaja dengan tajam dan mendalam, tapi juga cukup kreatif dan
inovatif, supaya mereka ada keanjalan untuk melakukan adaptasi dalam apa jua
situasi bakal wujud nanti," tambahnya.
Perdana Menteri berkata di
sinilah guru cemerlang yang merupakan ikon komuniti pendidikan memainkan
peranan kerana mereka tahu mengenai cara untuk menguruskan proses pembelajaran
dan pengajaran, bagi menyuntik motivasi di kalangan pelajar di samping
mencetuskan idea baru di bidang pendidikan.
Beliau seterusnya berkata
modal insan perlu dibangunkan dalam negara kerana ia adalah petunjuk utama yang
akan digunakan oleh pelabur asing dalam menentukan keputusannya sama ada untuk
menanam modal dalam negara atau sebaliknya.
Guru Cemerlang merujuk
kepada guru yang diiktiraf mempunyai pengetahuan, kemahiran serta kepakaran
yang tinggi dalam bidang pengajaran dan pembelajaran; dan kenaikan pangkat buat
Guru Cemerlang diperkenalkan mulai 1993 untuk memberikan peluang kenaikan
pangkat lebih baik bagi mereka tanpa memerlukan mereka meninggalkan tugas
mengajar.
Najib berkata jumlah guru
cemerlang dalam negara ketika ini mencecah 13,000 orang, dengan 36 sudah
berpangkat JUSA C.
Perhimpunan 1,500 orang guru
cemerlang hari ini merupakan agenda nasional yang dirancang Biro Tatanegara
(BTN) dengan kerjasama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) serta Majlis
Guru Cemerlang Malaysia (MGCM) bagi menyatukan gagasan pemikiran guru cemerlang
agar seiring dengan agenda transformasi pendidikan negara ke arah meningkatkan
kualiti pendidikan. (Bernama)
No comments:
Post a Comment