Sunday 29 July 2012

LOGO KONTROVERSI HARI MERDEKA DITUKAR




KUALA LUMPUR : Putrajaya hari ini menukar logo kontroversi Hari Kemerdekaan ke 55 yang dicipta oleh jurureka dalaman kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan dan menukarnya dengan logo 1Malaysia.

Langkah itu diumumkan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim awal pagi ini melalui akaun Twitternya.

“Untuk membendung sedikit salah faham kami (akan) hanya (menampilkan) 1Malaysia sebagai logo Merdeka (dan) Hari Malaysia,” katanya melalui akaun Twitternya, @DrRaisYatim.

“Tahun ini seperti tahun lalu tiada logo rasmi melainkan logo 1Malaysia. Cuma temanya ialah 55 Tahun Merdeka Janji ditepati.

“Bahan hiasan (artwork) kini hanya paparan selingan bukan logo rasmi. Ada bbp bahan promo menjelang Hari Merdeka 31 Ogos dan Hari Malaysia,” tambahnya.

Langkah ini dilihat sebagai satu langkah yang memalukan terutamanya bagi Rais yang baru dua hari lalu mempertahankan tema “Janji Ditepati” yang telah menerima krtitikan umum minggu lalu apabila ia diumumkan.

Beliau menjawab kritikan umum itu dalam mesej pada akaun Twitternya dengan mengatakan “segala-galanya boleh dilihat buruk jika minda tertutup”.

“Malaysia telah benar-benar menjadi sebuah negara yang brjaya selepas 55 tahun merdeka. Mengapa tidak boleh kita katakan Janji Ditepati?”Katanya dalam satu respon kepada kritikan terhadap tema yang dikatakan sebagai kempen politik Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum akan datang yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Malaysia merayakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos bagi memperingati ulang tahun hari kemerdekaan Malaya pada tahun 1957 dan meraikan Hari Malaysia pada 16 September bagi memperingati percantuman semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Rais Yatim: Umumkan langkah melalui Twitter.

Rais dilaporkan oleh Bernama pada 9 Julai bahawa tema Hari Kemerdekaan tahun ini menandakan program transformasi PM seperti pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia, Kedai 1Malaysia dan lain-lain adalah untuk kebaikan rakyat.

Tema kemerdekaan lepas adalah variasi agenda 1Malaysia Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dan “1Malaysia Menjana transformasi”.

Sebelum Najib mengambil alih pemerintahan pada tahun 2009, tema hari kebangsaan lebih memberi tertumpu kepada mesej perpaduan, dengan tema pada 2008 “Perpaduan Teras Kejayaan”.

PM keenam itu juga telah menjelajah ke seluruh negara ini di bawah program “Jelajah Janji Ditepati” yang dianjurkan oleh TV3, stesen penyiaran swasta utama dibawah Sistem Televisyen Malaysia Bhd (STMB) yang dikaitkan dengan Umno.

Program jelajah tersebut adalah sebahagian daripada kempen untuk mengingatkan pengundi bahawa pentadbiran beliau (Najib) telah melaksanakan janji-janji semenjak beliau mengambil alih jawatan pada April 2009.

Najib memerlukan mandat sendiri pada pilihan raya akan datang kerana mandat kini adalah milik Tun Abdullah Ahmad Badawi yang beliau gantikan selepas pilihan raya umum 2008. Ahli-ahli politik Pakatan Rakyat (PR) telah menuduh kerajaan BN menjadikan sambutan Hari Kebangsaan sebagai kempen pilihan raya.

Mereka juga menuduh BN menyalahgunakan tema dan jentera kerajaan untuk tujuan kempen politik.

Rais, yang memimpin kementerian penerangan, komunikasi dan kebudayaan bertanggungjawab untuk tema, terpaksa mempertahankan pemilihan tema menjelang pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Tema, slogan terbuka kepada persepsi. Jika minda ditutup dan hati keras semuanya boleh dilihat buruk, “katanya dalam perutusan di Twitter hari ini.

Logo Hari Kebangsaan 2012 juga telah menerima kritikan meluas sejak ia dikeluarkan. Warga siber dan pereka grafik mengatakan ia adalah paling buruk yang pernah mereka lihat dan tidak sesuai untuk sambutan hari besar 31 Ogos dan 16 September, yang merupakan Hari Malaysia.

Kerajaan tidak mengadakan pertandingan mereka bentuk logo yang telah dijalankan secara tradisi pada tahun ini, menyebabkan Jabatan Penerangan mengeluarkan logo yang terdiri daripada kata-kata dalam fon berbeza, Jalur Gemilang, logo 1 Malaysia dan tema “Janji Ditepati”, semuanya menggunakan empat warna bendera kebangsaan.

Serangan turut dilakukan kepada penjelasan terhadap logo oleh orang ramai yang menjadikannya sebagai bahan lawak.

Di laman rangkaian sosial seperti Twitter dan Facebook, ramai yang mempersoalkan mengapa Putrajaya tidak mengadakan pertandingan mereka logo seperti yang dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya.

Sebuah kumpulan Facebook yang bernama “Kami berhujah Logo Kemerdekaan Malaysia Ke 55” yang menggunakan slogan “Janji Ditepati” diwujudkan, kerana tindakan kerajaan itu dikatakan tidak masuk akal dan bertujuan politik.


No comments:

Post a Comment