Friday 6 July 2012

MALAYSIA SETUJU PEMINDAHAN JAM KREDIT



Oleh : AHMAD FUAD YAHYA

YOGYAKARTA : Malaysia bersedia mengambil peranan utama dalam projek pengharmonian sistem pemindahan jam kredit bagi memudahkan pengiktirafan kelayakan akademik dan pembelajaran dan pergerakan pelajar di rantau Asean dan sebaliknya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Malaysia berminat untuk bekerja dengan negara anggota sidang kemuncak Asia Timur dan institusi serantau yang lain dalam usaha itu.

"Kami ingin memulakan projek itu dengan mana-mana negara anggota dan institusi yang berminat," katanya pada mesyuarat pertama sidang kemuncak Asia Timur (EAS) peringkat Menteri-menteri Pelajaran di sini, Khamis.

Muhyiddin berkata walaupun banyak usaha yang perlu dilakukan dalam bidang pemindahan jam kredit di peringkat Asean, inisiatif bersepadu diperlukan bagi memudahkan dan mempercepat pengharmonian di peringkat serantau.

Katanya ini kerana perkembangan kerangka kelayakan dalaman dan sistem jaminan kualiti di negara-negara yang berbeza masih di pelbagai peringkat perjalanan ke arah pengharmonian.

"Sehubungan ini, kita perlu membangunkan satu rangka kerja induk berhubung pemindahan jam kredit untuk menyokong perkembangan pergerakan pelajar di negara-negara anggota dan rakan dialog," katanya.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berada di sini untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean, Mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran Asean 3+1 dan Mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran EAS, yang bermula semalam. Mesyuarat-mesyuarat itu berakhir hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata bilangan belajar yang ingin melanjutkan pengajian dan pengalaman melalui pelajaran di seberang laut menggunakan pelbagai jenis susunan termasuk sistem pemindahan jam kredit semakin meningkat.

"Kita mengambil perhatian bahawa sistem pemindahan jam kredit serantau menyokong pengharmonian dalam sistem pendidikan tinggi nasional dan menghapuskan halangan yang tidak perlu bagi pergerakan pelajar.

"Kita juga mengambil perhatian bahawa hari ini pengiktirafan kredit dan kelayakan bagi pergerakan pelajar dipermudahkan lagi dan ditingkatkan di mana rangka kerja kelayakan, sistem jaminan kualiti dan dasar yang menyokong sudah ada," katanya.

Muhyiddin, yang sedang dalam rangka lawatan enam hari ke Indonesia, kemudiannya berlepas ke Bali di mana antara lain beliau dijadual bertemu Gabenor Bali I Made Mangku Pastika dan juga pelajar Malaysia yang sedang menuntut di pulau itu.

Sebelum itu, dalam lawatannya sejak Selasa, Timbalan Perdana Menteri mengadakan perbincangan dengan Naib Presiden Indonesia Boediono dalam usaha meningkatkan kerjasama dan hubungan dua hala dan menyelesaikan isu-sisu dua hala yang kerap menimbulkan pergeseran di peringkat rakyat dengan rakyat kedua buah negara. (Bernama)


No comments:

Post a Comment