Sunday 22 July 2012

MAYAT TERAKHIR MANGSA HELIKOPTER DIJUMPAI




KUCHING: Mayat Henry Loh, mangsa ketiga kejadian helikopter terhempas di Sungai Triso dekat Sebuyau dijumpai terapung di laut dekat Pulau Triso kira-kira pada jam 7.40 pagi tadi.

Mayat yang lengkap berpakaian dan tanpa jaket keselamatan itu dijumpai oleh penambang di lokasi kira-kira setengah jam perjalanan bot dari pekan Sebuyau. Penemuan itu terus dimaklumkan kepada pasukan Bomba dan Penyelamat.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani yang mengesahkan penemuan itu berkata mayat mangsa terakhir nahas helikopter milik Sebiro Holdings itu disahkan oleh saudara mangsa.

“Gerakan mencari dan menyelamat dihentikan,” katanya.

Difahamkan mayat mangsa dibawa terus ke Hospital Umum Sarawak di sini untuk bedah siasat.

Semalam dua mayat mangsa helikopter yang sama dijumpai pada masa dan tempat berasingan.

Mayat Siti Khuzaimah Anwar ditemui kira-kira pada jam 11 pagi ditemui terapung di kawasan perairan dekat Maludam.

Manakala mayat Peter Ato Mayau dijumpai terapung di perairan berhampiran Kampung Tebelu, Sebuyau kira-kira pada jam 2 petang.

Insiden helikopter jenis Eurocopter EC 120 itu berlaku pada pagi Jumaat ketika ia mengangkut tiga mangsa terbabit dari Kuching ke Nanga Merit, Kapit atas urusan kerja.

Juruterbang warga Jerman Rico Steger terselamat dalam nahas tersebut selepas berenang empat jam sebelum sampai ke Tebelu, Sebuyau. (UB)

No comments:

Post a Comment