Wednesday 18 July 2012

MENCARI KEDAMAIAN TIGA SEGI LONG PASIA




Oleh :  SITI ZUBAIDAH ABDULLAH

KOTA KINABALU : Nama Long Pasia bermaksud 'mulut Sungai Merah' dalam bahasa etnik Lundayeh, adalah sebuah kampung di daerah Sipitang, Sabah.

Kampung ini terletak di persempadanan tiga segi antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan Timur, Indonesia. Long Pasia mempunyai 85 rumah dengan kira-kira 500 orang penduduk.

Satu-satunya jalan darat ke kampung ini, yang terletak kira-kira 125 km dari Sipitang, ialah melalui jalan hutan balak. Dari Kota Kinabalu, ia mengambil masa perjalanan sekurang-kurangnya dua jam melalui jalan raya ke Sipitang dan dari sana pula sekurang-kurangnya empat jam lagi dengan pacuan empat roda melalui jalan hutan balak ke Long Pasia.

Penulis disambut dengan hidangan air sejuk apabila sampai di perkampungan ini setelah melalui satu perjalanan yang amat mencabar di sepanjang jalan hutan balak yang tidak berturap.

Kedamaian diselubungi dengan keindahan rimba semula jadi yang masih belum tercemar memberikan suatu pengalaman yang amat indah sekali. Malahan suasana kedinginan apabila angin sepoi-sepoi meniup sehingga kesejukan itu dirasai umpama di Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Perkampungan Unik Lundayeh

Menurut Ketua Kampung yang menjaga kampung itu selama 20 tahun, Mudin Sia, 60, perkampungan Lundayeh kini berusia lebih 400 tahun dengan penempatan awal seramai 2,000 penduduk.

Mudin berkata, penduduk kampung kemudiannya berpecah kepada empat buah kampung berdekatan iaitu Sungai Bunggaya, Sungai Kampung Ruran, Kampung Long Mio dan Kampung Long Pasia.

Bagi mereka yang biasa dengan suasana riuh rendah dan bingit kenderaan di Kuala Lumpur, nyata kunjungan ke Long Pasia memberikan kesan sebaliknya.

Bukan sekadar sunyi sepi sejak awal pagi, malah tidak ubah seperti bumi tanpa penduduk, cuma sesekali kedengaran bunyi salakan anjing, haiwan yang paling disayangi di sekitar kawasan berhawa dingin itu.

Kebanyakan penduduk akan berada di kebun atau berkurung dalam rumah melakukan kerja seharian. Sukar sekali untuk bertembung mereka di jalan atau di mana saja pada waktu pagi. Kedai koperasinya juga sunyi seperti tiada pembeli. Sekolahnya tidak begitu jauh dan agak sepi.

Melihat kepada kehidupan mereka, tidak langsung menampakkan kesukaran untuk hidup selesa, sedangkan sumber pendapatan mereka hanyalah bercucuk tanam secara kecil-kecilan iaitu padi, lada dan pelbagai jenis sayuran.

Jika hendak dikatakan maju dalam pendidikan, tidak ramai sebenarnya yang berjaya lantaran kesukaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di Sipitang.

Tanaman secara kecil-kecilan, namun kualiti hasil kebun mereka sangat tinggi. Tidak cukup sepinggan makan nasi di situ walaupun hanya dihidang bersama sardin dengan tiga jenis sayur.

Semuanya kerana keenakan dan kelembutan nasi daripada padi yang ditanam sendiri. Ditambah pula rasa pedas lada (cili api), yang ditanam sendiri. Masakan mereka ringkas tetapi menyelerakan.

Namun, itulah yang menjadikan perkampungan itu begitu unik sekali di mana ia jauh daripada kebingitan deruman kenderaan dan hingar bingar kehidupan kota, sebaliknya menjanjikan sebuah kedamaian yang tidak ternilai dan sukar diperoleh di mana-mana.

Long Pasia dengan masyarakat Lundayeh berada dalam dunia mereka tersendiri, malahan mereka ada pelbagai aktiviti sukan seperti bola sepak dan futsal membabitkan kanak-kanak hinggalah ke dewasa, lelaki mahupun wanita untuk mengisi kehidupan mereka di sebalik kesunyian itu.

Hakikatnya, meskipun melalui perjalanan memenatkan ke kampung itu pastinya berbaloi dan ia menjadi antara penyebab utama begitu ramai pelancong gemar mengunjungi perkampungan itu dan mendekati masyarakat Lundayeh.



 


Long Pasia Dulu Dan Kini

Jika dahulu penduduk Long Pasia tidak mampu mempunyai kenderaan dan terpaksa berjalan kaki selama lima hari membawa bekalan dengan menggantung beras, malahan bermalam di hutan.

"Itu memang sengsara, kadang-kadang ada muncul rusa dan gajah, terpaksa berbasah jika hujan, kami perlu lalui jalan yang tidak rata berbukit-bukit dan menyeberang sungai," kata seorang penduduk Joseph Lakong Angang, 67, yang juga guru pertama menjadi pendidik di perkampungan terpencil itu.

Angang berkata pembangunan dan kemajuan mula dirasai di Long Pasia pada tahun 1996 dengan jalan balak dan mereka yang mahu ke pekan Sipitang boleh membayar tambang sejumlah RM20-RM30.

Antara kemudahan lain termasuk bekalan air paip berbanding air sungai dan penggunaan tenaga solar bagi bekalan elektrik.

"Perkembangan dulu dan sekarang dari segi perumahan berbeza sudah banyak berubah, katanya yang pencen pada 2003 dengan gaji RM1,500 sebulan.

Bapa kepada sepuluh anak itu berkata berkata kehidupan di Long Pasia sudah jauh berubah berbanding ketika beliau mula-mula menjejakkan kaki ke kampung itu pada 1963.

"Ketika itu, saya berusia 19 tahun sudah menjadi guru pertama mengajar anak-anak di sini, perkmbangan dulu dan sekarang dari segi perumahan amat berbeza dan sudah banyak berubah," katanya kepada penulis ketika berkunjung ke perkampungan terpencil itu.

Angang berkata satu-satunya sekolah di kampung itu amat daif 'berdinding bambu' dengan dikenali Sekolah Kebangsaan Native Voluntary School (NVS) berdekatan lapangan terbang lama Sipitang yang kini ditukar nama sebagai SK Long Pasia.

"Bangunan sekolah berdinding bambu, atapnya zink yang dibuat atas bantuan askar, lantai simen dan guru pada masa itu hanya empat orang termasuk askar sebelum guru dari kementerian (Pelajaran) datang," katanya yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Inggeris bagi murid tidak lebih daripada sepuluh orang murid antara lingkungan umur 11 hingga 14 tahun pada masa itu.

Katanya, beliau pada masa lampau mendapat upah dulu sejumlah RM1 bagi seorang murid selain mendapat makanan dan minuman daripada orang kampung sebelum kerajaan mengambil alih sekolah dengan gaji pertama RM105 sebulan pada 1971 dan serta semakin meningkat pada 1980an.






Keistimewaan Long Pasia

Kampung Long Pasia kaya dengan khazanah alam yang indah dan masih terpelihara dengan suasana udara yang nyaman seperti berada dalam sebuah bilik besar berhawa dingin, kehijauan tumbuh-tumbuhan sehingga saujana mata memandang, ditambah pula dengan layanan ramah dari penduduk setempat yang tidak kering dengan senyuman menjadikan kampung ini destinasi menarik untuk dikunjungi.

Sungai Long Pasia bukan terkenal dengan keadaan airnya yang berwarna kekuningan tetapi keunikan suhu airnya yang akan panas-suam semalaman sehingga pukul 6.00 pagi dan kemudian akan menjadi sejuk apabila matahari mulai terbit. Ia seolah-olah ada sistem kawalan suhu air secara semulajadi yang memberikan keunikan ajaib sungai tersebut.

Kampung ini menerima ramai tetamu pada musim kemarau kerana walaupun pada musim kemarau, bukit-bukau di sini sentiasa dipenuhi embun dan kabus bersuhu sejuk seperti di tanah tinggi dengan panoramanya indah yang cukup boleh menambat hati pengunjung.

Ketika berkunjung ke Ulu Padas di Kampung Long Pasia, pengunjung boleh memilih sama ada mahu menerokai dan menjelajahi hutan belantara, atau menyusuri sungai yang penuh dengan lokasi bersejarah.

Pengunjung pastinya akan sentiasa ditemani oleh penduduk tempatan yang menjadi 'tour guide' mahupun 'boatman' terlatih kepada sesiapa yang ingin menerokai sungai-sungai di Kampung Long Pasia.

Penduduk Long Pasia juga adalah orang yang kreatif dengan membina 'Rumah Korea' iaitu sebuah rumah ala-perubatan yang 'sejuk' dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dan 'elergic'.

Rumah ini dibina selepas kunjungan seorang Faster dari Korea yang mengunjungi kampung itu di mana lima orang penduduk kampung termasuk Pengerusi JKKK Lukas Usim dipilih menyertai kursus selama dua minggu di negara bermusim itu pada April tahun lepas.

Lukas, 49, berkata mereka mempelajari teknik membuat batu-bata dan simen konkrit daripada tanah liat yang boleh membuatkan rumah itu tahan selama ribuan tahun.

"Kini, rumah ini 100 peratus daripada tanah sudah hampir siap hasil tangan 30 hingga 60 penduduk kampung sejak dibina Mac lepas. Ia akan digunakan sebagai dewan masyarakat untuk penduduk di sini," katanya.

Long Pasia, destinasi sesuai bagi mereka yang mahu melarikan diri dari segala hiruk-piruk kota dan kesibukan tugas dan berehat dengan tenang. (Bernama)

1 comment: