Oleh : AMIN ISKANDAR
KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein mesti memberi penjelasan mengapa polis Cawangan Khas
(Special Branch) diberi imuniti dan kebenaran untuk menyebarkan berita ‘karut’
bahawa pengganas Jemaah Islamiyah (JI) dan bekas anggota komunis telah meresap
masuk ke dalam parti Pakatan Rakyat (PR) dan akan menjadi calon dalam
pilihanraya yang akan datang, kata Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang.
Semalam laporan Bernama
melaporkan Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial
Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin dalam Konvensyen Pemimpin Muda
Negara di Parlimen, telah mendakwa elemen JI sedang meresap kedalam PAS
sementara elemen komunis sedang cuba untuk meresap kedalam DAP.
“Ini dapat dilihat sebagai
satu lawak politik yang sememangnya jijik kalau bukan keseriusan idea-idea
seperti ini yang berputik daripada akal yang tidak berakhlak yang menentukan
polisi yang diimplementasikan oleh kerajaan dan bagi tujuan keselamatan
dinegara ini.
“Apakah isu kebangkitan
semula pengganas Islam dan momok komunis yang sedang meresap kedalam
parti-parti Pakatan Rakyat, akan dijadikan satu alasan yang baru untuk
melaksanakan satu operasi khas terhadap parti-parti PR untuk mengeluarkan
anasir-anasir yang kononnya tidak berdemokrasi dan menggugat keselamatan awam
oleh Pakatan Rakyat supaya UMNO/Barisan Nasional akan kekal berkuasa dalam
pilihanraya umum ke-13?” soal Kit Siang.
Menurut timbalan presiden
PAS, Haji Mohamad Sabu, JI dan komunis dikaitkan dengan PR agar rakyat takut
untuk memilih pakatan pembangkang itu dalam pilihan raya akan datang.
“SB bekerja untuk Umno,
kalau ada unsur komunis atau JI yang memilih perjuangan bersenjata, mereka tak
akan pilih ‘election’ (pilihan raya) sebagai wadah.
“Kerja SB hanya ‘create
fear’ (wujudkan ketakutan) di kalangan rakyat supaya Umno - BN terus menang
election,” kata Mohamad dalam kiriman mesej kepada The Malaysian Insider
sebentar tadi.
Pengarah komunikasi PKR, Nik
Nazmi Nik Ahmad, kenyataan SB yang menuduh PR mempunyai kaitan dengan JI dan
komunis adalah taktik lama dan kenyataan seperti ini adalah kenyataan kitar
semula yang telah digunakan secara berulang-ulang.
Dakwa Adun Seri Setia itu
lagi, jika benar dakwaan SB - JI dan komunis menyusup dalam PR dan akan
bertanding pilihan raya, mereka perlu membuktikannya.
“Saya cabar Hishammuddin
Hussein dan polis untuk menamakan pemimpin PR yang dikaitkan dengan JI dan
komunis dan akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.
“Pemuda Umno lebih komunis
kerana mempunyai hubungan langsung dengan sayap pemuda Parti Komunis China,”
kata Nik Nazmi.
Menjelang perhimpunan
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai 2011, momok komunis
dimainkan apabila pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) di tahan di bawah
undang-undang Darurat (EO) kerana dikatakan menyebarkan dakyah komunis ke dalam
perhimpunan Bersih. (TMI)
No comments:
Post a Comment