Oleh : MOHD FARHAN DARWIS
KUALA LUMPUR : Naib Presiden
PAS, Datuk Mahfuz Omar mendakwa kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
membayangkan pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) boleh diadakan tahun ini,
menunjukkan bahawa Timbalan Perdana Menteri itu “tidak sabar untuk menggantikan
Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.”
Ahli Parlimen Pokok Sena itu
turut menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan Muhyiddin, yang juga merupakan
Timbalan Presiden Umno itu adalah jelas 'bercanggah' dengan Najib yang
menurutnya mahu melengkapkan tempoh mandat lima tahun yang tamat april tahun
hadapan.
“Timbalan Perdana Menteri mungkin
ada perkiraan bahawa BN tidak akan menang dua pertiga majoriti. (Jadi) Najib
mesti turun macam mana Pak Lah turun,” katanya.
Muhyiddin sebelum ini
melahirkan pandangannya PRU13 tidak akan diadakan tahun depan memandangkan
tahun ini merupakan masa yang lebih sesuai.
“Saya tak fikir ia akan
berlarut sehingga tahun 2013, wallahua’lam. Tetapi itu terpulang kepada Perdana
Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).
“Tapi saya bagi tahu, saya
kata yang paling baik adalah tahun inilah,” kata Muhyiddin dipetik Bernama
Online.
Tambah pemimpin PAS itu
lagi, Muhyiddin juga berkemungkinan mempunyai perkiraan Barisan Nasional (BN)
tidak akan memperolehi dua pertiga majoriti seperti pilihan raya umum 2008 yang
menyaksikan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan
kuasa kepada Najib.
“Mungkin Muhyiddin juga
mengharapkan BN tidak akan menang dengan majoriti besar, dan beliau akan menjatuhkan
Najib seperti mana Najib jatuhkan Pak Lah.
“Kenyataan timbalan perdana
menteri itu seolah-olah mengulangi zaman peralihan kuasa Pak Lah selepas
pilihan raya 2008,” katanya merujuk kepada Abdullah.
Malah, Mahfuz juga turut
menegaskan, Muhyiddin seharusnya menyokong kenyataan Najib selaku Presiden Umno
dan bukan mengeluarkan sebaliknya.
Beliau turut menambah,
situasi ini juga bakal menimbulkan krisis kepimpinan dalaman kepada Umno dan
Barisan Nasional (BN).
“Ini pertentangan yang
sangat jelas,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment