Monday 30 July 2012

PAKATAN AMAL 'POLITIK POPULIS' TANPA TUNAI JANJI





PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata Pakatan Rakyat hanya mengamalkan 'politik populis' tanpa menunaikan janji, sebaliknya pimpinan Barisan Nasional (BN) membuktikan perancangan yang dilakukan berhasil melalui program transformasi.

Beliau berkata janji populis pembangkang seperti memansuhkan bayaran tol dan pinjaman PTPTN, bukan untuk memajukan negara ke arah berpendapatan tinggi malah lebih menjurus kepada negara yang bankrap.

"Perdana Menteri telah melakukan transformasi sosial dan politik untuk memastikan masyarakat yang lebih demokratik, dan saya yakin ini permintaan dan hasrat rakyat jelata, berbanding dengan Pakatan Rakyat yang hanya menabur janji merata tempat, tapi tidak menunaikannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen MCA Perak semalam.

Sehubungan itu, pengundi terutama kaum Cina perlu menilai dan membuat perbandingan terhadap janji yang dikotakan kerajaan BN dengan janji pakatan pembangkang.

Beliau berkata semasa krisis mata wang ringgit pada 1997, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir berjaya mengorbankan negara kepada IMF.

"Jadi, saya harap peristiwa yang pahit itu tak berulang disebabkan sokongan rakyat yang terpengaruh dengan tipu helah parti pembangkang," katanya.

Dalam pada itu, konvensyen MCA menggariskan 10 resolusi antaranya penyalahgunaan rasuah dan amalan penindasan kuasa serta menggesa masyarakat menyokong transformasi perdana menteri iaitu 'Janji Ditepati'. (Bernama)

No comments:

Post a Comment