SHAH ALAM Seorang Penolong
Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dihukum penjara 13 tahun
dan denda berjumlah RM2.275 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin, atas
kesalahan rasuah tiga tahun lepas.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh
menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Mohan, 39, selepas mendapati pihak pembelaan
gagal membuktikan kes pendakwaan melampaui keraguan munasabah.
Bagi pertuduhan pertama,
Mohan dijatuhi hukuman penjara 13 tahun dan denda RM1.25 juta atau 60 bulan
penjara jika gagal membayar denda, penjara 13
tahun dan denda RM1 juta atau 50 bulan penjara jika gagal membayar denda
itu bagi pertuduhan kedua dan penjara 13 tahun dan denda RM25,000 atau lapan
bulan penjara jika gagal membayar denda bagi pertuduhan ketiga.
Bagaimanapun tertuduh hanya
perlu menjalani hukuman penjara 13 tahun selepas Hakim Azhaniz Teh
memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh jatuh hukum
hari ini.
Peguam yang mewakili Mohan,
R.Ratha Kirushnan, memohon kepada mahkamah supaya hukuman penjara dan denda ke
atas anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.
Bagaimanapun, Timbalan
Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah berkata tiada keadaan istimewa yang
membolehkan hukuman ke atas tertuduh ditangguhkan walaupun dia telah berkhidmat
selama 18 tahun dengan SPRM.
Hakim Azhaniz Teh kemudian
membenarkan hukuman penjara itu ditangguhkan tetapi menetapkan hukuman denda
perlu dibayar pada hari ini selain mengarahkan tertuduh diikat jamin RM50,000.
Bagi pertuduhan pertama,
Mohan didakwa meminta bagi dirinya suapan wang tunai RM250,000 daripada A.
Sinnaiah sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan ke atas Sinnaiah,
yang disyaki memberi rasuah kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan
Imigresen.
Bagi pertuduhan kedua, dia
didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan wang tunai RM200,000 daripada
Sinnaiah sebagai dorongan untuk
melakukan perkara yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu
didakwa dilakukan di pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam, antara 11
pagi dan 1 tengah hari pada 22 Okt 2009.
Mohan juga menghadapi satu
lagi pertuduhan iaitu memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM5,000
daripada orang sama sebagai dorongan untuk
melakukan perkara sama di di Restoran Sri Paandi Corner, Pandan Indah
di Ampang, Selangor, antara 11 pagi dan
12 tengah hari, 25 Okt 2009.
Pertuduhan pertama ke atas
Mohan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia 2009 manakala pertuduhan kedua dan
ketiga di bawah Seksyen 17 (a) Akta yang sama dan boleh dihukum di bawah
Seksyen 24 Akta yang sama.
Seksyen 24 Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 memperuntukkan hukuman penjara maksimum
20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih
tinggi. (Bernama)
No comments:
Post a Comment