Saturday 21 July 2012

PEMBAHAGIAN KUOTA SOLAR BUKAN MONOPOLI




Oleh : AMIN ISKANDAR

KUALA LUMPUR : Lembaga Kemajuan Tenaga Mapan (SEDA) hari ini menafikan dakwaan setiausaha publisiti DAP, Tony Pua dan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa pembahagian kuota solar Fotovoltaik kepada anak perempuan kepada bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan (gambar) merupakan tindakan menyokong amalan monopoli kerana SEDA sentiasa menggalakkan pelaburan sektor swasta.

“Objektif utama Akta Tenaga Boleh Baharu (TBB) 2011 adalah untuk menjadi pemangkin penjanaan TBB dan untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta di dalam bidang ini.

“Untuk itu, sistem ini tidak meletakkan sebarang had terhadap sejauh mana penglibatan atau pelaburan seseorang pelabur melainkan sekatan berkenaan pemilikan ekuiti syarikat asing. Sistem e-FiT telah direka untuk menjadi satu proses yang saksama dan telus bagi permohonan kuota di bawah mekanisme Tarif Galakan,” kata Tan Sri Fong Chan Onn dalam sebuah kenyataan yang diemail kepada The Malaysian Insider sebentar tadi.

Menurut beliau lagi, mekasime FiT telah dilaksanakan selama 7 bulan dan SEDA Malaysia sentiasa menambah baik sistem dan proses permohonan FiT tanpa membantutkan pertumbuhan industri TBB di Negara ini.

Langkah-langkah juga telah diambil untuk mengurangkan kemungkinan wujudnya monopoli di dalam permohonan kuota TBB yang ada.

Tony Pua dan Nurul Izzah Anwar sebelum ini menyatakan bahawa Suzi Suliana Mohd Sidek dan suaminya Todd Morath mempunyai kepentingan dalam 12 daripada 32 syarikat yang diberikan kontrak — 32.4 peratus dariapada kuota tenaga yang ditetapkan dari 1MW (Megawat) dan 5MW.

Mengenai kelulusan diberikan kepada syarikat yang tidak mempunyai pengalaman dan modal berbayar yang rendah, Fong menjelaskan ini adalah kerana TBB merupakan industri yang masih baru di Malaysia.

Menurut SEDA lagi, pertumbuhan industri Small Renewable Energy Power Programme (SREP 2001 – 2011) adalah sangat terhad dan tidak mahu indutri ini dibolot oleh syarikat asing yang berpengalaman.

“Dalam masa 10 tahun pelaksanaan program ini, tiada loji janakuasa solar yang dapat dibangunakan.

“Mekanisme Tarif Galakan dilaksanakan bertujuan untuk memacu pembangunan industri TBB tempatan.

“Sekirannya FiA hanya diberikan kepada syarikat yang mempunyai pengalaman luas di dalam tenaga solar, ini akan mewujudkan dominasi pasaran oleh syarikat asing, sekaligus menghadkan keupayaan industri tempatan untuk berkembang.

Pengerusi SEDA sebelum ini memberitahu media beliau akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Tony Pua berkenaan dengan tuduhan dan kritikan terbaru ahli parlimen tersebut terhadap pihak berkuasa tenaga yang boleh diperbaharui negara ini. (TMI)

No comments:

Post a Comment