Saturday 28 July 2012

PEMBUKAAN OLIMPIK LONDON ALA 'JAMES BOND'





GREAT BRITAIN selaku tuan rumah mempersembahkan gabungan suasana tradisional dan moden bagi menggambarkan proses transformasi yang dilaluinya sebagai latarbelakang kepada acara pembukaan rasmi gilang-gemilang Sukan Olimpik ke-30.

Acara pembukaan bermula pada pukul 9 malam (waktu tempatan) di Stadium Olimpik yang boleh memuat 80,000 penonton yang terletak di Stratford, Timur London.
   
Ribuan peserta mengambil bahagian untuk membuat persembahan yang mempersonakan selama dua jam.
   
Dengan bertemakan 'Isles of Wonder', digambarkan transformasi yang dialami negara tersebut bermula dari zaman revolusi perindustrian di abad ke-18 sehinggalah ia mencapai pemodenan dan perubahan pesat.

Mengakhiri segmen pertama, lima bulatan yang melambangkan simbol Olimpik dinaikkan di tengah-tengah stadium sebelum ketibaan Ratu Elizabeth 11 pada 9.30 malam.
   
Persembahan seterusnya berupa kesenian moden dengan dua watak terkenal filem James Bond and Mr Bean mencuri perhatian.
   
Pada pukul 10.30 malam, perarakan kontinjen dari 204 negara yang mengambil bahagian pun bermula didahuli oleh kontinjen Afghanistan.

Kontinjen Malaysia yang mengandungi 22 atlet dan pegawai dengan diketuai Chef de Mission Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan pembawa Jalur Gemilang, Pandelela Rinong anak Pamg berarak lalu pada 11.13 malam.

Kontinjen Malaysia, bagi peserta lelakinya memakai baju kebangsaan berwarna kuning dan berjalur hitam yang melambangkan warna 'Harimau Malaya' serta bertanjak sementara peserta wanita berbaju kurung dan berselendang.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Olimpik dan Paralimpik London,   Sebastian Coe dalam ucapannya mengalu-alukan para peserta ke kejohanan terbesar dunia itu.
   
"Dalam tempoh dua minggu ini, kami akan menunjukkan bandar raya hebat London. London 2012 akan menyaksikan yang paling terbaik daripada kita." katanya.
   
Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Jacques Rogge pula mengucapkan tahniah kepada London yang menerima kunjungan dunia.
   
"Di sinilah lahirnya sukan moden. London menjadi bandar raya pertama secara rasmi yang menganjurkan Sukan Olimpik moden sebanyak tiga kali, terdahulu pada 1908 dan 1948," katanya.
   
Ratu Elizabeth kemudiannya merasmikan pembukaan Olimpik London.
   
Pemenang pingat gangsa acara taekwondo wanita pada Olimpik Beijing 2008, Sarah Stevenson mengangkat sumpah bagi pihak atlet.
   
Selepas dibawa hampir 12,800 km, obor Olimpik akhirnya dibawa memasuki stadium pada 12.35 pagi.
   
Sekumpulan tujuh orang atlet muda Britain kemudiannya membawa obor di sekeliling stadium dan menyalakan kawah obor Olimpik.  Maka bermulah Sukan Olimpik London. (Bernama)



No comments:

Post a Comment