Wednesday 18 July 2012

PENDIDIKAN BUKAN BELANJA HANGUS




Oleh : ABU BAKAR ESAH

BEAUFORT: Ibu bapa diingatkan bahawa pendidikan bukanlah konsep perbelanjaan wang hangus tetapi adalah pelaburan masa depan untuk keluarga, bangsa, agama dan negara.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan dua konsep yang perlu disemai pada diri ibu bapa iaitu ‘anak sebagai amanah’ dan ‘pendidikan sebagai pelaburan masa depan’.

“Anak-anak yang dilahirkan bukan sekadar rezeki daripada Allah semata-mata, tetapi juga merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa. Mendidik anak-anak dengan belaian kasih sayang dengan perhatian dari segi pembentukan otak, sahsiah, akhlak, perilaku dan segalanya merupakan satu amanah yang tidak boleh diabaikan,” katanya pada masjlis perasmian Seminar Motivasi Keibubapaan dan Peperiksaaan SPM Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Beaufort di Dewan Pa’ Musa di sini, kelmarin.

Teks ucapan beliau di sampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Jornah Mihizim. Seminar itu dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Beaufort  bersama Kumpulan Yayasan Sabah'

Azizah yang juga Ahli dewan Undangan Negeri (Adun) Klias itu berkata, keluarga memainkan peranan dan tanggungjawab yang sangat penting untuk dipikul demi merealisasikan hasrat negara melahirkan lebih ramai modal insan yang cemerlang dalam pelbagai aspek.

“Kejayaan anak dalam pelajaran dan seterusnya dalam hidup bukanlah diperoleh dengan mudah, sebaliknya dicapai melalui kegigihan, komitmen dan pengorbanan yang besar daripada semua pihak. Ini termasuklah para ibu bapa, warga pendidik, kerajaan dan masyarakat keseluruhannya yang terus komited dalam menjana kejayaan demi kejayaan kepada generasi pelajar kita.

Azizah mengingatkan agar ibu bapa menunjukkan teladan yang baik terhadap anak-anak kerana segala perbuatan dan tingkah laku ibu bapa pasti akan mempengaruhi  anak-anak mereka.

“Di mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi?’ Ini merupakan peribahasa yang relevan dengan isu ini. Justeru, ibu bapa perlu bersikap optimistik tidak kira dalam apa-apa keadaan demi memastikan anak-anak sentiasa berada di landasan yang betul dan seterusnya melahirkan anak yang sentiasa bersikap positif."

Selain itu katanya, ibu bapa perlu mewujudkan suasana yang harmoni dalam keluarga bagi menghindarkan anak-anak daripada terjebak dengan gejala negatif.

“Apabila suasana harmoni dapat diwujudkan ikatan silaturahim antara keluarga akan lebih utuh. Hal ini seterusnya dapat mengelakkan gangguan emosi dalam kalangan anak-anak sekali gus membendung anak-anak daripada tergelincir dari landasan yang benar,” katanya

No comments:

Post a Comment