Tuesday 17 July 2012

PENGGALANG 20 PERKUKUH KESIAP-SIAGAAN APMM




Oleh : AMIR ANUAR

TAWAU: Ketibaan Fast Interceptor Craft (FIC) atau bot pemintas laju Penggalang 20 di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau kelmarin mengukuhkan lagi kesiap-siagaan agensi penguatkuasa itu di perairan negara.

Ketua Penguatkuasanya, Kepten Maritim Wan Mohd Affandi Wan Ahmad, berkata Penggalang 20 akan memainkan peranan penting bagi mengawal aktiviti keluar-masuk dan kegiatan mencurigakan meliputi perairan Kalabakan, Tawau dan Semporna.

“Penerimaan bot pemintas laju ini mencerminkan komitmen tinggi APMM meningkatkan keupayaan operasi penguatkuasaan undang-undang serta Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Affandi berkata demikian selepas Penggalang 20 melakukan demonstrasi keupayaan dan pelayaran di perairan Pulau Sebatik bagi menunjukkan keupayaan FIC itu kepada anggota APMM dan wakil media tempatan.

Beliau menjelaskan, FIC terbabit merupakan bot pemintas terlaju di negara ini kerana mampu mencecah kelajuan maksimum sehingga 60 knot berbanding bot biasa yang lazimnya berkelajuan 40 knot.

“Kita berasa bersyukur dan berbangga kerana daerah Tawau diberi penghormatan oleh Kementerian Dalam Negeri sebagai daerah pertama yang memiliki bot ini,” katanya semasa ditemui pemberita di sini kelmarin.

Tambahnya, Penggalang 20 siap dibina bersama Penggalang 21 yang ditempatkan di Kota Kinabalu dalam fasa pertama pembinaan bot sedemikian oleh Syarikat Destini Marine Sdn Bhd di Pelabuhan Klang, Selangor.

“FIC Penggalang 20 dan 21 telah belayar ke Sabah pada 28 Jun lalu dari Pelabuhan Klang dan berhenti di beberapa lokasi persinggahan iaitu Johor Baharu, Kuching dan Kota Kinabalu sebelum Penggalang 20 meneruskan perjalanan ke Sandakan dan Tawau.

“Keseluruhan jarak perjalanan pelayaran FIC Penggalang 20 melibatkan kira-kira 1,700 Batu Nautika serta dikemudikan oleh tujuh krew yang diketuai oleh Leftenan Norihan Ngah,” katanya.

Utusan Borneo difahamkan Penggalang 20 bakal dilengkapi dengan Meriam Auto Melara sepanjang 12.7 meter dalam tempoh terdekat dan ketibaan FIC ini juga menjadikan bilangan bot APMM Tawau kini bertambah kepada lima buah.

No comments:

Post a Comment