Oleh : IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
PETALING JAYA: Parti
Keadilan Rakyat (PKR) pada Jumaat membidas dakwaan Risikan Bahagian Ancaman
Ekstremis Sosial Bukit Aman mengenai pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan
individu gerakan komunis cuba menjadi calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya
umum (PRU) akan datang.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik
Nazmi Nik Ahmad berkata, ia merupakan satu kenyataan lama yang telah dikitar
semula kononnya Pakatan Rakyat mempunyai kaitan dengan pengaruh komunis dan JI.
"Saya minta Cawangan
Khas, (PDRM) Bukit Aman dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam
Negeri) untuk menyatakan dengan jelas siapa ada maklumat calon-calon tersebut.
"Kita nak tahu. Tak
payah hendak berselindung dengan kenyataan-kenyataan tak masuk akal. Jika
mereka tiada nama, mereka kena minta maaf," katanya pada sidang media di
Ibu Pejabat PKR disini, Jumaat.
Beliau mengulas mengenai
dakwaan Risikan Cawangan Khas PDRM pada Khamis bahawa terdapat pengganas JI dan
individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti
politik pembangkang selain cuba menjadi calon dalam PRU akan datang.
Nik Nazmi yang juga Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia berkata, beliau kesal bagaimana pihak
Cawangan Khas boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian yang nyata menjadikan
mereka sebagai satu 'perkakas' politik kepada Barisan Nasional (BN).
"Mereka yang keluarkan
kenyataan ini, saya nasihatkan sama ada mereka balik memainkan peranan sebagai
anggota polis bagi membanteras masalah jenayah yang semakin serius di negara
kita ataupun masuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang atas tiket Umno.
Jadi jangan keliru peranan dia.
"Kita minta hentikan
politik perang dingin, politik zaman lapuk yang sudah lapuk pada abad ke-21
sebab rakyat sudah tidak percaya benda-benda mengarut macam ni," tegas
beliau.
Nik Nazmi mendakwa
segelintir pihak yang menuduh itu adalah pihak berkuasa sendiri yang tidak
pasti kesahihan dan kewibawaan maklumatnya.
"Segelintir mereka
dituduh kerana menjadi anggota JI. Sama ada betul atau tidak itu isu yang lain.
Kebanyakan mereka ditahan tanpa asas.
"Mereka dicop sebagai
JI hanya kerana pergi belajar di Afghanistan, ada kawan-kawan yang dilihat
pernah belajar di Afghanistan. Adalah tidak adil mengatakan kerana melihat
mereka pernah bertemu, menjadikan tuduhan itu betul," katanya.
Beliau menyifatkan bahawa
Cawangan Khas dan Biro Tata Negara (BTN) masih terperangkap dalam mentaliti
perang dingin.
"Saya ingin
mengingatkan mereka supaya mereka tidak sepatutnya bercakap mengenai isu
seperti ini.
"Kita sekarang dalam
abad ke-21. Ini adalah waktu untuk menunjukkan kematangan mereka dan bercerita
mengenai pembangunan demokrasi negara. Itu lebih relevan," katanya.
Dilaporkan, Ketua Penolong
Pengarah E2 (M), Bahagian Ekstremis Sosial Bukit Aman, Datuk Mohd Sofian Md
Makinuddin berkata, Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi
PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.
Mohd Sofian turut mendakwa
bahawa beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering
berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan
pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di
sana.
No comments:
Post a Comment