Tuesday 24 July 2012

POLIS TAHAN 93 ANGGOTA KONGSI GELAP



POLIS menahan 93 lelaki berusia antara 16 dan 42 tahun dari dua kumpulan kongsi gelap ketika cuba mencetuskan pergaduhan di Persiaran Gurney di George Town tengah malam tadi.
   
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, SAC Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis membuat dua serbuan serentak di dua lokasi sekitar Persiaran Gurney pada pukul 12.30 malam.

Beliau berkata dua kumpulan samseng yang dikenali sebagai '04' dan '24' itu dipercayai baru selesai berunding untuk berebut kawasan dan akan bertempur.
   
"Sebanyak 70 lelaki yang ditahan terdiri dari geng 04 dan selebihnya adalah ahli kumpulan 24 dan polis percaya beberapa orang lagi sempat melarikan diri setelah mengetahui kehadiran polis," katanya kepada pemberita kelmarin.
   
Abdul Rahim berkata, polis yakin penangkapan anggota kongsi gelap itu dipercayai dapat menyelesaikan 25 kes jenayah termasuk peras ugut, pecah rumah dan samun berkumpulan sejak Januari lepas.

Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai senjata seperti pedang samurai, parang, pisau pemotong kertas, kayu pemukul besbol dan buku lima daripada suspek.
   
Beliau berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati 43 daripada suspek positif dadah dan mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Abdul Rahim berkata, orang ramai yang pernah menjadi mangsa kumpulan terbabit diminta membuat laporan di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan dan proses pengecaman. (Bernama)


No comments:

Post a Comment