KUALA KANGSAR : Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan berbincang
dengan Peguam Negara berhubung cadangan bagi memastikan pilihan raya umum
diadakan setelah tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima
tahun.
Mohamed Nazri berkata
perkara itu perlu dirujuk kepada Peguam Negara bagi memastikan sama ada
Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda atau sebaliknya.
"Saya nak minta nasihat
daripada Peguam Negara kalau ada keputusan macam ini, bagaimana nak dilakukan.
Sama ada kita buat pindaan Perlembagaan atau diadakan dalam peruntukan
Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.
Beliau ditemui pemberita
selepas melancarkan Program Komuniti Perkhidmatan dan Tanggungjawab bersama
Belia Menabur Bakti di Dewan Orang Ramai Kampung Tanah Merah di sini, hari ini.
Pada persidangan Parlimen
bulan lepas, Mohamed Nazri berkata kerajaan sedang melakukan gerakan
kecil-kecilan untuk mempertimbang bahawa pilihan raya umum diadakan apabila
tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun dan bukannya
lebih awal.
Mohamed Nazri berkata
sekiranya pilihan raya diadakan mencukupi lima tahun, ia tidak menganggu-gugat
segala program yang dirancang kerajaan untuk rakyat yang mengambil tempoh lima
tahun pelaksanaannya.
Beliau secara peribadi
bersetuju dan bersedia untuk menjadi pemangkin kepada langkah itu.
"Saya secara peribadi
berpandangan, kalau kita mempunyai program seperti Rancangan Malaysia kelima
dan enam, tempohnya lima tahun. Sekiranya pilihan raya pada tahun ketiga dan
keempat akan mengganggu program yang telah disediakan oleh kerajaan,"
katanya.
Selain itu, Mohamed Nazri
berkata sekiranya pilihan raya diadakan mencukupi lima tahun, ternyata dakwaan
pembangkang adalah meleset, kononnya segala bantuan kerajaan kepada rakyat
adalah kerana ingin memancing undi ekoran pilihan raya hampir tiba.
"Pada hal kerajaan
menjalankan tanggungjawab untuk membantu rakyat. Jadi kita memberi pelbagai
pemberian, bukan kerana pilihan raya dekat. Jadi kalau kita ada buat satu
keputusan iaitu pilihan raya tidak akan diadakan sebelum lima tahun tamat,
segala tuduhan pembangkang meleset," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment