Monday 23 July 2012

RAKYAT MALAYSIA DI SYRIA TIBA SELASA INI




KUALA LUMPUR  : Kumpulan pertama rakyat Malaysia di Syria yang dibawa pulang oleh kerajaan berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu, dijangka tiba di tanah air Selasa ini.

Jurucakap Wisma Putra berkata kumpulan pertama tersebut terdiri 50 orang termasuk pelajar akan dibawa balik menggunakan penerbangan khas.

"Maklumat lanjut proses pemindahan rakyat Malaysia di Syria ini akan diketahui selewat-lewatnya malam ini ataupun pagi esok," katanya kepada Bernama, di sini, kelmarin.

Katanya, Kedutaan Besar Malaysia Syria yang berpusat di Damsyik sudahpun menghimpun semua rakyat Malaysia itu di kedutaan bagi menjamin keselamatan mereka.

Pemindahan rakyat Malaysia dari Syria itu diselaraskan oleh Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara, bersama Kedutaan Besar Malaysia di Damsyik.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan memutuskan bahawa semua rakyat Malaysia dan pelajar di Syria dibawa pulang ke tanah air serta merta berikutan pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.

Najib juga membenarkan Kedutaan Malaysia di Syria ditutup serta merta dan mengarahkan penjawat awam termasuk Duta Besar Malaysia kembali ke tanah air atas faktor keselamatan.

Seramai 138 rakyat Malaysia terdiri daripada 128 pelajar dan 10 ekspatriat berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Damsyik.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata ATM telah bersiap-sedia untuk membantu membawa pulang rakyat Malaysia dari Syria itu.

"ATM sudah menerima arahan daripada MKN tetapi butiran pemindahan masih belum dapat dimaklumkan," katanya. (Bernama)


No comments:

Post a Comment