MARAH.....NGO
Rakyat Malaysia Menentang Rogol, Serangan dan Ragut (MARAH) melancarkan kempen
petisi online.
Oleh : CLARA CHOOI
KUALA LUMPUR : Kerajaan
berkali-kali mengatakan bahawa statistik kadar jenayah telah menurun, akan
tetapi percubaan culik dan rompak baru-baru ini menyebabkan ramai rasa tidak
selamat.
Laporan tentang kejadian
penculikan kanak-kanak berumur 12 tahun, Nayati Moodliar serta kisah
kanak-kanak perempuan yang berjaya melarikan diri daripada dua penculik,
percubaan rogol dan culik di Tesco Ampang dan kejadian yang menimpa aktivis
Bersih Wong Chin Huat telah menimbulkan kerisauan rakyat terhadap tahap
keselamatan orang ramai.
Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak mengakui baru-baru ini bahawa kerajaan perlu berusaha dengan lebih
giat untuk melawan jenayah.
Tetapi pemimpin lain seperti
menteri dalam negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, PEMANDU dan polis
kelihatan tidak begitu bimbang berbanding PM.
Jumaat lalu, ketua polis
negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar bertegas mengatakan jenayah tidak meningkat,
sambil menyatakan statistik yang diperolehi dari polis negeri dan daerah, serta
di peringkat antarabangsa seperti Genuine Progress Indicator (GPI) menunjukkan
keberkesanan langkah-langkah memerangi dan mengurangkan jenayah di negara ini.
Hishamuddin juga mengatakan
bahawa laporan beberapa kejadian baru-baru ini adalah kes terpencil.
Beliau turut memberitahu
media, dengan mensensasikan beberapa kes boleh menyebabkan persepsi Malaysia
bukan negara selamat kerana data rasmi menunjukkan sebaliknya.
PEMANDU dan kementerian
dalam negeri (KDN) juga mendakwa bahawa kadar jenayah menurun sebanyak 11
peratus tahun lalu dengan jenayah jalanan menjunam turun sebanyak 40 peratus
semenjak Program Transformasi Kerajaan (GTP) dilaksanakan dua tahun lalu.
Ahli parlimen pembangkang
memperlekehkan statistik ini sehingga ada yang mengatakan kerajaan berbohong
dengan statistik yang dikeluarkan.
“Dengan langsung tidak
mempunyai ketelusan dan seringkali tidak konsisten dalam keadaan jenayah di
negara ini, tidak menghairankan jika orang ramai tidak mempercayai kerajaan.
“Lebih memburukkan lagi
keadaan, kerajaan tidak mahu mengakui wujudnya ketakutan orang ramai sama ada
mereka berada di dalam atau di luar rumah,” kata ahli parlimen DAP, Tony Pua
baru-baru ini.
Semakin banyak laporan
kejadian didedahkan oleh media tetapi pihak berkuasa tetap mempertahankan
statistik mereka. Ini menyebabkan orang ramai terpaksa bersatu untuk memerangi
jenayah dengan cara mereka sendiri.
Sebuah NGO yang menamakan
diri mereka sebagai Rakyat Malaysia Menentang Rogol, Serangan dan Ragut (MARAH)
berjaya melancarkan kempen petisi online yang mensasarkan 100,000 tandatangan.
“Kami tidak mempunyai
unsur-unsur politik, agama dan kaum tetapi akan bekerja keras untuk melobi agar
keselamatan orang ramai terjamin terutamanya bagi kaum hawa,” tulis mereka di
ruangan penerangan mengenai MARAH di petisi mereka, sebuah advokasi dan mencari
dana melalui internet terutamanya laman sosial Facebook.
“Kami berkempen untuk
keselamatan tempat letak kereta, jalan raya dan hak untuk hidup dalam
persekitaran selamat baik di dalam mahupun di luar rumah.”
Petisi tersebut juga turut
memaparkan nota kecil kepada kerajaan negeri Selangor dan kerajan pusat tentang
kesediaan sukarelawan MARAH menawarkan diri untuk membantu kerajaan memerangi
jenayah.
“Kita akan berkongsi
informasi, sumber, nama, gambar serta video dan senarai pelaku jenayah di
‘Dinding Memalukan’ kami.
“Kita akan melobi agar
rondaan polis meningkat, perlaksanaan tegas undang-undang sedia ada mengenai
rogol, rompak, ragut dan culik, terutamanya di tempat letak kereta pusat
membeli-belah,” katanya lagi.
Pengasas MARAH, Dave Avran,
memberitahu The Malaysian Insider, dia terpanggil untuk mengasaskan kumpulan
tersebut selepas membaca terlalu banyak berita tentang kejadian jenayah
baru-baru ini seperti rompakan, rogol dan ragut dalam media.
“MARAH mensasarkan untuk
bekerja dengan entiti yang dinyatakan diatas agar rakyat biasa dapat menuntut
tempat letak kereta, jalan raya dan kawasan kejiranan yang lebih selamat.
“Kami faham pihak polis
banyak tugas dan sibuk - sebab itu kami mahu bekerjasama terutamanya mengenai
tip-tip keselamatan, seni mempertahankan diri dan aksi yang proaktif,” katanya
melalui perbualan di laman Facebook semalam.
“Untuk lebih jelas lagi,
saya marah dengan pelaku jenayah dan bukannya pihak berkuasa,” katanya lagi.
Ketika artikel ini ditulis,
711 tandatangan dipetisi online dan dijangkakan akan mengembang dalam masa
beberapa minggu lagi.
Rata-rata di laman sosial
Facebook dan Twitter, pengguna internet berkongsi pengalaman ngeri mereka dan
saling menasihati tentang bagaimana untuk lebih selamat apabila diluar rumah.
“Satu ketika dahulu kita
boleh berjalan dengan bebas dan selamat walaupun pada waktu malam, kini keadaan
sudah tidak selamat walaupun pada waktu siang. Sudah sampai masanya pengguna
internet menyokong petisi kami,” kata seorang pengguna Facebook di petisi MARAH.
“Kami tidak mahu hidup dalam
ketakutan lagi. Kami mahu keadilan dilaksanakan dan keselamatan diutamakan
terutamanya bagi wanita. Sokonglah petisi ini,” kata seorang lagi pengguna
Internet.
No comments:
Post a Comment