Tuesday 17 July 2012

RM2.6 JUTA PEROKOK DI MALAYSIA





TAWAU: Mengikut statistik, terdapat seramai 2.6 juta perokok di Malaysia dan setiap hari seramai 40 hingga 50 perokok baru mulai terjebak ke kancah itu.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Nizam Abu Bakar Titingan berkata penyertaan di kalangan remaja juga mulai meningkat setiap tahun.

“Perkara yang lebih membimbangkan Kementerian Kesihatan Malaysia ialah hampir 10,000 kematian setiap tahun dikaitkan dengan tabiat merokok,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Minggu Tanpa Tembakau Peringkat Negeri di Perkarangan Klinik Kesihatan Apas Balung di sini kelmarin.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Jamil Muhi dan Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran.

Nizam berkata, penyelidikan dan kajian telah menghasilkan bukti-bukti konsisten dan meyakinkan tentang hubungkait penggunaan tembakau dan merokok dengan penyakit-penyakit pulmonari, kardiovaskular yang serius dan juga kanser.

“Kajian juga mendapati lebih kurang 40 jenis penyakit yang ada hubungkait dengan merokok,” katanya sambil menambah, bukti saintifik juga menunjukkan rokok mengandungi lebih 4,000 jenis racun dan menjadi ancaman kepada kesihatan perokok dan kesejahteraan masyarakat.

Kementerian Kesihatan, katanya, telah menjalankan pelbagai usaha untuk memerangi gejala merokok antaranya seperti membuka perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok di hospital dan klinik kesihatan, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan kawalan hasil tembakau, serta kempen cara hidup yang sihat.

“Hasilnya, tahap kesedaran terhadap bahaya merokok dalam kalangan orang awam yang merokok dan tidak merokok telah meningkat,” katanya.

Tambahnya, kajian mendapati 40 peratus daripada mereka yang sedang merokok telah cuba berhenti sendiri tetapi malangnya kebanyakan mereka telah gagal berbuat demikian.

Menyerdari hakikat itu, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil langkah positif mewujudkan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok.

Terdahulu, Nizam turut menyampaikan hadiah pertandingan bercerita dan pidato sempena program itu. (UB)

No comments:

Post a Comment