Soalan: Ustaz, suami saya
telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak
akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada
setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;
i) Bolehkah suami yang telah
kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup
pada malam-malam hari sebelum kematiannya?
ii) Bolehkah ruh suami saya
menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?
iii) Apakah benar ruh orang
yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya,
seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.
Salam Hormat, Hamimah
Abdullah dari Banting, Selangor.
Jawapan:
Puan,
Menjawab soalan pertama, di
sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah
suaminya meninggal iaitu ‘tidur bersama’, mungkin berlaku sebagai suatu mimpi
indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa
itu adalah suaminya yang terdahulu.
Kalau berlaku itu atas nama
mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada
isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih
dahulu daripadanya.
Adapun mendatangi isteri
dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini
adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal
telah berpindah ke alam baqa’ – alamul khulud – yang bermula daripada kubur.
Hadis Nabi s.a.w menyebut
(yang bermaksud),”Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat
berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam
kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke
alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin
boleh kembali ke alam dunia.”
Adapun yang berlaku setelah
yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa
itu bukanlah suami yang sebenar.
Kalaupun berlaku sungguh, ia
akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk
lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim,
terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali. Misalnya kita merujuk kepada
Surah as-Shaffaat, ayat 51 yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah
meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan
bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.
Qareen dalam tafsir seperti
al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat.
Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah
mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin
ataupun Syaitan.
Pada umumnya, apabila
manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan
berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada
kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak
baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya
sebagaimana rupa suami terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak
seharusnya mempercayai bahawa ‘dia’ adalah suami puan, kerana suami puan yang
sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.
Mengenai soalan kedua, orang
yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan
berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah
pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana
Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang
kukuh memisahkan di antara dua alam.
Maka orang yang telah
kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh
kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42 yang bermaksud, “Allahlah yang
memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti
mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia.”
Ayat al-Quran lain ada
menyebut;
“Bahawa selepas kematian,
mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat.”
Banyak ayat al-Quran dan
al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan
Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke
alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).
Logiknya kita lihat,
kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan
berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu
seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas
ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin
bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya
atau sebagainya.
Kepada soalan ketiga, pada
saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya
adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah.
Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh
yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang
sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab
kubur.
Dalam kedua-dua keadaan ini,
si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam
alam Barzakh.
Akan tetapi berlaku dalam
dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam
jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap
dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.
Daripada pengalaman saya,
ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali
Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang
mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah
mati.
Semuanya ini adalah tidak
benar dan ditolak oleh Islam.
Seolah-olah wujudnya fahaman
mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebut tanasuthil arwah –
reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba.
Islam bersih daripada semua fahaman ini.
Umat Islam mesti beriman
bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang
lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam
dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.
Apabila tibanya nanti di
hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk
dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada
pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh
menganggu atau menyakiti manusia.
Wallahu a’lam.
DATO’ DR HARON DIN
No comments:
Post a Comment